5 Gambar: Sumbat Kerbau Dalam Honda Odessey.


KULIM: Cubaan empat lelaki mencuri seekor kerbau dengan menyumbatnya di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odessey gagal selepas tayar kenderaan itu pancit di sebuah ladang di Batu Puteh, di sini, hari ini.

Kejadian itu disedari jam 8.30 pagi oleh seorang lelaki yang kebetulan melalui jalan terbabit untuk ke kebunnya dengan motosikal.

Menurut sumber, lelaki terbabit mula curiga apabila mendapati kenderaan terbabit tetap meneruskan perjalanan walaupun tayar belakang pancit.

"Namun sebaik tiba di satu kawasan tiba-tiba kenderaan itu berhenti di tepi jalan sebelum empat lelaki keluar dan terus melarikan diri ke ladang kelapa sawit berhampiran.

"Pelik melihat kejadian itu, lelaki terbabit kemudian menghampirinya dan terkejut melihat seekor kerbau dalam keadaan lali di tempat duduk penumpang belakang," katanya.

Sumber berkata, dia kemudian memaklumkan kepada orang kampung yang kemudian menghubungi pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang mengesan pemilik kenderaan itu untuk tindakan selanjutnya.

"Setakat ini, kita belum menerima laporan polis berhubung kehilangan haiwan ternakan mereka," katanya. - Berita Harian Online