Tun Siti Hasmah Minta Rakyat Tidak Lagi Kirim Hadiah.


Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, meminta agar rakyat Malaysia berhenti mengirimkan hadiah kepada mereka sekeluarga.

Hal itu dimaklumkan oleh anaknya, Marina Mahathir, melalui satu entri di akaun Facebook.

Kata Marina, semenjak kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ibu bapanya menerima banyak kiriman, antaranya bunga, makanan dan hadiah-hadiah lain.

Biarpun kesemua pemberian itu sangat dihargai, namun ia perlu dihentikan kerana bukan sahaja ia menyalahi undang-undang yang dibuat PH, tetapi juga jumlah yang terlalu banyak menyukarkan mereka untuk menguruskannya.

"Satu, undang-undang PH tidak membenarkan ahli politik menerima hadiah selain daripada bunga dan makanan. Kedua, walaupun mereka menghargai setiap pemberian, tetapi hadiah yang terlalu banyak menyukarkan penyimpanan.

"Kedua-dua mereka tidak akan berpindah ke Seri Perdana sebaliknya akan terus tinggal di rumah sekarang, tetapi di situ ruangnya tidaklah seluas mana dan sukar untuk menyimpan hadiah-hadiah itu.

"Jadi ibu meminta agar mereka yang mahu mengirim hadiah, memberikannya kepada pertubuhan kebajikan. Itu akan menggembirakannya," tulis Marina. - Astro AWANI