Skip to main content

Jangan Beri Amanah Pada Pemimpin Terpalit Rasuah – Sultan Nazrin


Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menyeru umat Islam di negara ini supaya tidak memberikan amanah atau menyerahkan tanggungjawab kepada kalangan mereka yang terpalit rasuah dan salah guna kuasa.

Baginda menyeru masyarakat Islam supaya dengan segala daya dan kekuatan menolak sama sekali golongan yang berimej mungkar, munafik, lemah moral, rendah akhlak serta sebarang perlakuan yang boleh mencemarkan nama baik umat.

Sultan Nazrin bertitah kejayaan meningkatkan syiar Islam sangat bergantung kepada kejayaan umatnya dan untuk itu setiap orang Islam bertanggungjawab mewarnakan Islam dengan gemerlapan dan mengisinya dengan kandungan yang meyakinkan.

“Imej Islam dan gambaran masyarakat dunia terhadap Islam dipengaruhi tahap pencapaian dan status kejayaan umat Islam. Islam akan lebih dihormati dan Islam akan terus dimuliakan, jika majoriti penganut Islam memperlihatkan prestasi pencapaian yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

“Oleh itu usaha dan program pembangunan insan sewajarnya diberikan fokus. Jika keagungan Islam mahu dijulang, jika martabat bangsa mahu didarjatkan, usaha untuk memperkaya generasi muda dengan ilmu wajib diberikan tumpuan melalui persepakatan gerakan yang tersusun lagi strategik, diselaraskan, diintegrasikan dan digabungkan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) ke-72 di Kuala Lumpur, hari ini yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah kegemilangan Islam pada satu masa dahulu telah meninggalkan legasi dan idealisme tinggi, namun kemajuan sesuatu bangsa itu tidak boleh hanya bergantung kepada dua perkara berkenaan sahaja.

Sebaliknya, baginda bertitah naratif masa hadapan untuk mengubah kualiti masyarakat Islam ke arah yang lebih progresif, hendaklah dirintis dengan menyuburkan semangat dan naratif realis dan futuris.

“Kelangsungan (survival) umat Islam perlu dibina melalui pembinaan kekuatan minda dan menyuntik keyakinan untuk bersaing dan berlumba, bukan kaedah menakut-nakutkan umat Islam sehingga mereka mempunyai prasangka, mempunyai prejudis, tidak selesa, merasakan diri sebagai orang asing (alien) apabila berada dalam persekitaran yang dihadiri atau dikelilingi oleh bukan Islam,” titah baginda.

Di samping itu, baginda bertitah Islam juga bukan sekadar percakapan dan retorik, slogan yang dilaungkan atau sepanduk yang dipaparkan, malah agama itu juga bukan bahan untuk didagangkan secara berjanji dan memberikan harapan, dijajakan atau dijadikan alat menghalalkan cara bagi mencapai tujuan duniawi.

“Islam wajib dibuktikan melalui kehidupan yang nyata, melalui dukungan para penganutnya. Islam tidak akan dapat membuktikan relevansinya sehingga masyarakat Islam berjaya menjelmakannya dalam budaya hidup harian.

“Islam itu perlu dirasai dan diperlihatkan melalui pengisian, perbuatan, pencapaian dan kejayaan penganutnya. Keagungan Islam perlu dicerminkan melalui sifat dan watak insaniah umat, bukan pada apa yang diuar-uarkan atau dimegahkan melalui kisah kehebatan tokoh-tokoh Islam zaman silam yang sudah menjadi sejarah,” titah baginda.

Sultan Nazin menyeru umat Islam agar berani belajar daripada kesilapan masa lalu, yang cenderung memilih jalan pintas untuk menyelesaikan sesuatu masalah kerana mahu mendapat kemenangan segera.

Baginda bertitah penyelesaian yang diformulasikan untuk mendapatkan kemenangan segera akan berkesudahan dengan kaedah penyelesaian yang tidak kukuh asasnya dan amat sementara sifatnya.

Sementara itu, Sultan Nazrin turut menitahkan ahli-ahli MKI agar menghayati dan mempelopori semangat syura selain berusaha sebaik mungkin untuk menghargai elemen persamaan dan menjauhi sikap yang membesar-besarkan elemen perbezaan.

“Perlu diusahakan jambatan penghubung untuk mempertemukan pendirian dan tafsiran yang berbeza agar dapat dielakkan berlakunya pertelingkahan, apatah lagi pertelingkahan secara terbuka yang bersifat konfrontasi sehingga boleh menjadi punca keretakan hubungan dan pada akhirnya mengakibatkan umat Islam berpecah,” titah baginda.

MKI turut dititah supaya mengadakan libat urus dengan meluas bersama setiap pemegang taruh sebelum sesuatu dasar diperkenalkan selain melengkapkannya dengan pelan komunikasi berkesan lagi komprehensif bagi mengelak berlakunya keadaan ‘rumah siap pahat berbunyi’.

Baginda turut berharap agar MKI berupaya menghasilkan ramuan dan kaedah baharu untuk menganjak minda ummah keluar daripada kotak pemikiran sempit, bersedia melakukan penghijrahan minda dan budaya serta berupaya membangunkan angkatan ummah dinamik sekali gus meningkatkan syiar Islam.- Bernama

Popular posts from this blog

Polis tahan 7 lelaki, seorang wanita bantu siasatan kes pukul di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Polis telah menahan tujuh lelaki dan seorang wanita sejak semalam bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dipukul sekumpulan individu di sebuah rumah di flat Plentong, dekat sini, Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada mangsa pada Sabtu lalu. Katanya, permohonan reman terhadap kesemua individu yang ditahan sedang diproses bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Semalam, tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang lelaki dipukul oleh lima hingga tujuh individu di dalam sebuah rumah di lokasi kejadian. Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan menerima sembilan jahitan — tiga di bahagian bibir kanan dan enam lagi di telinga kiri. Mangsa yang berusia 21 tahun bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Taman Puteri, Kluang. Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berada di rumahnya sebelum menerima pesanan ringkas kira-kira jam...

Konflik dalaman keluarga punca suami kelar isteri, bakar 4 kenderaan di rumah mentua

TANGKAK – Polis mengesahkan bahawa punca seorang suami mengelar isterinya sehingga maut berpunca daripada konflik dalaman keluarga yang dihadapi pasangan tersebut. Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pada mulanya pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian kebakaran melibatkan empat buah kenderaan. Bagaimanapun, suspek yang dibawa ke balai polis kemudian memaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Gambir. “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis telah digerakkan ke rumah suspek dan mendapati isteri suspek telah meninggal dunia dengan kesan kelar pada leher. “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berselubung dan sebilah pisau berlumuran darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dijumpai berhampiran wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu. Beliau turut memaklumkan bahawa hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah. Sebelum ini, katanya, s...

Pempengaruh mati ditembak ketika ‘live’ TikTok

ZAPOPAN: Seorang pempengaruh media sosial di Mexico mati ditembak ketika sedang bersiaran langsung di aplikasi TikTok miliknya, Selasa lalu. Menurut pihak berkuasa Jalisco, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang. Siasatan awal mendapati suspek lelaki menaiki motosikal, tiba di salon milik Valeria Márquez, 23, sebelum melepaskan tembakan terhadap mangsa. Márquez yang memiliki hampir 200,000 pengikut di TikTok, rebah di hadapan kamera selepas dipercayai ditembak di bahagian dada dan kepala, berdasarkan rakaman video berkenaan. Beberapa saat kemudian, seorang wanita yang berada di dalam salon dilihat mengambil telefonnya dan menghentikan siaran langsung itu. Márquez disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Menurut pihak berkuasa, suspek kemudiannya melarikan diri dan masih belum diberkas. Kes kini disiasat di bawah protokol femisid, yang diaktifkan apabila seorang wanita dipercayai menjadi mangsa pembunuhan berpunca daripada jantina. Insiden itu mencetuskan kemarahan umum di Mexico...