The Untold Story: Farid Kamil Nafi Fitnah Anwar Ibrahim


Pelakon Farid Kamil mendesak individu yang menggunakan namanya untuk menyebar fitnah berhubung filem lakonannya Anwar: The Untold Story tampil memohon maaf.

Farid, 42, yakin, dakwaan itu dilakukan pihak tertentu yang bertujuan ingin merosakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Kenyataan ini adalah fitnah semata-mata. Saya tak pernah keluarkan kenyataan seperti ini dan saya yakin ia permainan jahat golongan yang tidak bertanggungjawab untuk merosakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Justeru, saya mendesak mereka memohon maaf dengan segera dan padamkan fitnah ini daripada terus disebarkan,” katanya pada hantaran di media sosial.

Filem terbitan Bianglala Entertainment itu mula ditayangkan di pawagam tempatan sejak 18 Mei lalu.

Selain Farid, turut menjayakan filem arahan Viva Westi itu ialah pelakon Hasnul Rahmat yang membawa peranan Dr Mahathir Mohamad), Acha Septriasa (Wan Azizah), Saskia Chadwick (Nurul Izzah), Dewi Irawan (ibu Anwar) dan Piet Pagau (bapa Anwar).

Farid turut mengiringi hantaran itu dengan keterangan yang mendakwa dia kononnya sukar melakonkan watak Anwar Ibrahim kerana perdana menteri itu “lebih pandai berlakon” darinya.

“Agak sukar untuk saya melakonkan watak Anwar Ibrahim kerana beliau adalah seorang pelakon yang lebih hebat daripada saya,” tulis dakwaan itu.