Punca Kematian Syazlin Zainal Didedahkan.


Pelakon drama Oh My Hantaran, Syazlin Zainal, 26, meninggal dunia dipercayai akibat jatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, di Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang wanita di bahagian bawah pangsapuri terbabit pada 12.50 tengah hari.

“Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang wanita yang bekerja sebagai pelakon sambilan.

“Sebab kematian adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata menerusi siasatan awal, pihaknya tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Raub meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Balai Polis Taman Pelangi atau Pegawai Penyiasat ASP Mat Nawi Ab Rahman di talian 016-5050808.

- Bernama