Skip to main content

Jangan Lantik Ahli Parlimen Ada Kes Rasuah Dalam Kabinet - Ahli Parlimen Pasir Gudang



Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak melantik ahli parlimen yang menghadapi pertuduhan rasuah dalam kabinet.

Ahli parlimen PKR itu berkata dia berkempen pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 berdasarkan dasar utama Pakatan Harapan (PH) untuk memerangi rasuah.

"Saya mohon Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak melantik ahli-ahli parlimen yang ada kes mahkamah dalam pertuduhan rasuah dan pecah amanah menjadi menteri dalam kerajaan perpaduan.

"Kriteria ini hendaklah diguna pakai secara adil kepada semua ahli parlimen tidak kira dari PH ataupun dari BN atau parti- parti gabungan politik lain yang berada di dalam kerajaan perpaduan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

"Hapuskan rasuah. Ini janji kita," katanya.

Antara ahli parlimen yang mempunyai kes mahkamah termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang dispekulasikan oleh penyokongnya akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Pemimpin lain yang mempunyai kes mahkamah ialah Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin.

Awal hari ini Sinar Harian melaporkan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkongsi pandangan sama.

"Yang terbaik dan paling ideal, saya fikir tidak letakkan mereka (yang ada kes mahkamah) dalam kabinet supaya tidak timbul isu kelak selain rakyat sangat tekankan selepas PRU ke-14 pada 2018 lalu hingga kini adalah soal rasuah.

"Kita boleh katakan kes masih berjalan di mahkamah dan sebagainya, tetapi bagi saya seelok-eloknya kena 'whiter than white' bila memegang amanah," kata naib presiden PKR itu. - Malaysiakini 

Popular posts from this blog

Polis tahan 7 lelaki, seorang wanita bantu siasatan kes pukul di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Polis telah menahan tujuh lelaki dan seorang wanita sejak semalam bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dipukul sekumpulan individu di sebuah rumah di flat Plentong, dekat sini, Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada mangsa pada Sabtu lalu. Katanya, permohonan reman terhadap kesemua individu yang ditahan sedang diproses bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Semalam, tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang lelaki dipukul oleh lima hingga tujuh individu di dalam sebuah rumah di lokasi kejadian. Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan menerima sembilan jahitan — tiga di bahagian bibir kanan dan enam lagi di telinga kiri. Mangsa yang berusia 21 tahun bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Taman Puteri, Kluang. Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berada di rumahnya sebelum menerima pesanan ringkas kira-kira jam...

Konflik dalaman keluarga punca suami kelar isteri, bakar 4 kenderaan di rumah mentua

TANGKAK – Polis mengesahkan bahawa punca seorang suami mengelar isterinya sehingga maut berpunca daripada konflik dalaman keluarga yang dihadapi pasangan tersebut. Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pada mulanya pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian kebakaran melibatkan empat buah kenderaan. Bagaimanapun, suspek yang dibawa ke balai polis kemudian memaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Gambir. “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis telah digerakkan ke rumah suspek dan mendapati isteri suspek telah meninggal dunia dengan kesan kelar pada leher. “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berselubung dan sebilah pisau berlumuran darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dijumpai berhampiran wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu. Beliau turut memaklumkan bahawa hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah. Sebelum ini, katanya, s...

Pempengaruh mati ditembak ketika ‘live’ TikTok

ZAPOPAN: Seorang pempengaruh media sosial di Mexico mati ditembak ketika sedang bersiaran langsung di aplikasi TikTok miliknya, Selasa lalu. Menurut pihak berkuasa Jalisco, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang. Siasatan awal mendapati suspek lelaki menaiki motosikal, tiba di salon milik Valeria Márquez, 23, sebelum melepaskan tembakan terhadap mangsa. Márquez yang memiliki hampir 200,000 pengikut di TikTok, rebah di hadapan kamera selepas dipercayai ditembak di bahagian dada dan kepala, berdasarkan rakaman video berkenaan. Beberapa saat kemudian, seorang wanita yang berada di dalam salon dilihat mengambil telefonnya dan menghentikan siaran langsung itu. Márquez disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Menurut pihak berkuasa, suspek kemudiannya melarikan diri dan masih belum diberkas. Kes kini disiasat di bawah protokol femisid, yang diaktifkan apabila seorang wanita dipercayai menjadi mangsa pembunuhan berpunca daripada jantina. Insiden itu mencetuskan kemarahan umum di Mexico...