Lelaki Ini Mengaku Tidak Bersalah Kes Tetak Abang Sado Jiran Sebelah Rumah

SUNGAI PETANI - Seorang pesara polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah dan mengugut jirannya pada 13 April lalu.

Tertuduh, Santhana Dass Sinapan, 63, membuat pengakuan tersebut dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyebabkan jiran sebelah rumahnya, Muhammad Farid Hasbullah Mohd Ariffin, 26, cedera parah dengan menggunakan parang di Taman Kempas di sini kira-kira jam 8.30 malam pada 13 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, Santhana didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan mangsa dengan mengugut hendak menyebabkan kematian.

Bagi pertuduhan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husnah Omar itu, dia boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 24 Jun ini dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bersama syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan jika ada laporan polis dibuat, jaminan akan dibatalkan. - Sinar Harian