Powered by Blogger.

Wednesday, April 22, 2020

PKP Dilanjut Lagi? KKM Akan Jumpa PM Dulu


Malaysiakini
Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam tempoh beberapa hari lagi sama ada perlu melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) selepas 28 April atau sebaliknya.

Dalam membuat cadangan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengulangi kenyataannya semalam bahawa terdapat kriteria yang mesti dipenuhi, termasuk kawalan sempadan, kawalan pergerakan dan menyesuaikan diri dengan normal baru.

"Standard ini telah ada dan akan melangkaui semua kementerian.

"Lima kriteria kita perlu penuhi sebelum kita boleh pertimbangkan untuk menamatkan PKP," kata beliau dalam sidang media harian kementerian itu di Putrajaya.

Noor Hisham berkata nasihat terkini kementerian kepada kerajaan akan dibuat berdasarkan model, fakta dan angka tebaru serta nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang disesuaikan dengan keadaan di Malaysia.

"Itulah bagaimana kita akan meletakkan rangka kerja tersebut.

"Rangka kerja ini datang dari KKM tetapi kita masih perlu pemberdayaan, majikan sebagai contoh untuk mengikutinya," jelas beliau.

Pada masa ini, Noor Hisham berkata penurunan kes aktif dan trend dua angka bagi jangkitan baru boleh diperbaiki dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

"Sama ada PKP akan ditarik balik atau diteruskan, kita akan beri nasihat kita tetapi perdana menteri akan buat keputusan,"katanya.

PKP mula dikuatkuasakan pada 18 Mac dan dilanjutkan pada fasa kedua dan ketiga yang dijadual berakhir pada 28 April ini. - Malaysiakini