Keegoan Barat Dirobek ‘Virus Covid-19’

Analysis: Coronavirus erodes Trump's re-election prospects | USA ...
SEKURANG-kurangnya 109,000 kematian direkod di seluruh dunia dan hampir tiga perempat daripadanya di Eropah sejak virus Covid-19 muncul di China pada Disember tahun lalu.

Wabak itu membunuh hampir 60,000 orang di Eropah, termasuk 19,468 di Itali, 16,606 di Sepanyol, 13,832 di Perancis dan 9,875 di Britain.

Kematian di Amerika Syarikat menyaksikan angka tertinggi, iaitu 20,597 dengan sekurang-kurangnya 533,259 jangkitan baharu.

Lebih daripada 1.783 juta kes direkod secara rasmi di seluruh dunia, jumlah yang mewakili sebahagian kecil daripada bilangan jangkitan sebenar.

Negara barat yang selama ini sering mendabik dada sebagai negara maju baik dari segi pemodenan, pertahanan, pendidikan mahupun kesihatan akhirnya terpaksa melutut menangis dalam berdepan penularan pandemik ini.

Keegoan mereka dirobek, disiat dan rapuh apabila Covid-19 merebak terlalu pantas menyaksikan peningkatan kes serta kematian naik mendadak setiap hari.

Negara kota warisan, Itali mendahului senarai blok negara Eropah yang paling awal menerima kesan mendalam akibat Covid-19.

Walaupun dikenali sebagai sebuah negara yang memiliki kemudahan kesihatan serta perubatan antara yang terbaik di dunia, Itali tidak mampu menyediakan pertahanan ampuh untuk memerangi virus berkenaan.

Punca utama ialah rakyat negara tersebut bersikap acuh tak acuh atau mengingkari perintah berkurung. Mereka masih keluar beramai-ramai seperti biasa, bersantai sambil menghirup kopi di kafe-kafe dan masih melakukan rutin harian macam biasa.

Realiti

AS terus menerima ledakan serangan ‘makhluk halus’ itu apabila kes positif di negara kuasa besar dunia itu melepasi angka 500,000 kes dan lebih 20,000 kematian.

Perkembangan terbaru itu meletakkan AS muncul antara negara yang paling banyak disahkan positif wabak yang boleh membawa maut tersebut.

Dilabelkan sebagai negara yang paling berkuasa di dunia, pastinya ramai yang beranggapan negara di bawah pimpinan Presiden Donald Trump itu akan menggunakan segala kepakaran dan tenaga bagi memastikan AS dapat mengekang penularan wabak itu.

Bagaimanapun, realiti yang berlaku ketika ini adalah sebaliknya apabila jumlah rakyat yang disahkan positif Covid-19 di AS meningkat dengan begitu mendadak.

Sikap memandang remeh AS, khususnya oleh Presiden Trump dalam menangani wabak maut itu pada peringkat lebih awal dikatakan sebagai punca Covid-19 merebak pantas.

Kritikan kini terarah kepada Trump selepas pemimpin itu dikatakan bersikap sambil lewa dalam mengawal wabak tersebut meskipun rata-rata negara lain bertungkus-lumus mencari penyelesaian bagi menangani pandemik itu.

Keangkuhan Trump dirapuhkan dek serangan ‘menggila’ Covid-19 ke atas rakyatnya sendiri.

Sesungguhnya keangkuhan, keegoan dan kehebatan apa pun yang dimiliki oleh sesebuah negara tidak mampu memerangi serangan virus Covid-19 jika tiada perancangan, strategi atau usaha berkesan untuk menanganinya.

Pengajaran berguna yang mungkin kini dikutip oleh negara barat bahawa gelaran kuasa besar dan status negara maju tidak menjamin mereka ‘kebal’ apabila diserang virus Covid-19.

Pembunuh senyap itu ternyata tidak pernah memilih mangsa; kuasa atau lemah; maju atau mundur dan tiada batas sempadan. Siapa yang angguk pasti akan tersungkur dan siapa berwaspada kemungkinan lebih selamat.

Bersyukurlah Malaysia sebagai sebuah negara membangun memiliki kerajaan yang cukup peka dan prihatin dalam menghadapi penularan wabak berkenaan.

Kerajaan perlu diberi pujian kerana bertindak proaktif mengawal pandemik dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pertubuhan Kesihatan Dunia juga mengiktiraf bahawa strategi melawan Covid-19 yang dilaksanakan negara ini adalah yang terbaik di seluruh negara. Terima kasih Malaysia! - Sinar Harian

* Mohd Hanafiah Hashim ialah Editor Unit Commercial and Creative Contents