Powered by Blogger.

Saturday, April 11, 2020

Adik Siti Aisyah Lahir Dengan Usus Atas Paru-Paru Mohon Bantuan

SANDAKAN: Nyawa seorang bayi yang baru berusia enam hari bagaikan telur di hujung tanduk, apabila dilahirkan dengan keadaan usus di atas paru-paru.

Bayi istimewa itu, Siti Aisyah Mohd Zulhusni, boleh pergi pada bila-bila masa saja selepas keluarganya tidak mampu menanggung kos perubatan dan pembedahan yang tinggi.

Ibu bayi berkenaan, Annie Liza Wabiso, 33, berkata, anaknya dilahirkan di hospital pada 6 April lalu dengan kaedah pembedahan sebelum dimaklumkan pegawai perubatan bayi yang dilahirkan itu berhadapan masalah.

“Usus Siti Aisyah tidak seperti sepatutnya. Ia berada di atas paru-paru dan keadaan itu sebenarnya sesuatu yang membahayakan nyawa.

“Pegawai perubatan kemudiannya menasihatkan supaya pembedahan dijalankan, tetapi kami tidak mampu dan tiada wang yang mencukupi untuk menanggung kos berkenaan.

“Pegawai perubatan memaklumkan, mereka boleh mengembalikan keadaan usus Siti Aisyah seperti kebiasaan dan ia akan dilakukan oleh pakar perubatan dari Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Annie Liza berkata, rawatan itu nanti akan mencecah kos ribuan ringgit kerana dia hanya pemegang Pas Pengenalan Sementara (IMM13).

“Siti Aisyah juga sepatutnya tidak boleh dibawa pulang ke rumah atau keluar dari wad kerana perlu bergantung dengan oksigen pernafasan


“Semasa kami bawa dia keluar pada 8 April lalu, pegawai perubatan ada memberitahu pada bila-bila masa, dia boleh pergi jika tiada sambungan oksigen.

“Tapi, kami tidak boleh lama tinggal di wad hospital kerana kos pasti sangat besar untuk dibayar nanti,” katanya.

Katanya, hanya Allah yang tahu perasaan dialaminya ketika ini yang sukar untuk dikatakan.

“Kami di rumah sangat gembira dapat menatap dia setiap hari dan terasa sangat syahdu bila mendengar tangisannya.

“Sebagai ibu yang mengandungkan dia selama sembilan bulan, saya tidak dapat bayangkan betapa beratnya perasaan tanpa dia nanti, sesak nafas saya fikirkan.

“Kalau boleh, saya tidak mahu fikirkan langsung tentang itu, tapi tetap terfikir juga. Itulah hakikatnya jika dia tidak dibedah dengan segera,” katanya.

Annie berkata, dia berharap ada pihak boleh membantu keluarganya. - Berita Harian Online