Powered by Blogger.

Friday, March 27, 2020

Bersantai Sambil Minum Arak 🤦‍♂️🤦‍♂️

KLANG - Seramai 13 individu termasuk orang kurang upaya (OKU) ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar daerah ini, sejak semalam.

Dalam operasi itu, ada yang ditahan ketika sedang lepak sambil minum minuman keras di sebuah gazibo dan ada pula yang sedang menghisap rokok di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki OKU berusia lingkungan 30-an di Taman Klang Utama selepas dipercayai terlibat dalam kes curi bateri lori, semalam.

Menurutnya, tangkapan seterusnya kira-kira jam 10 pagi tadi ke atas empat lelaki berusia lingkungan 30-an selepas dikesan sedang duduk berbual sambil meminum minuman keras di sebuah gazibo di Lorong Gurun Kawasan 18, Klang.

"Seterusnya, seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan ketika sedang duduk menghisap rokok di bahu jalan di Jalan Haji Yaakob 7, Kapar Klang, kira-kira jam 11.05 pagi.

"Kira-kira jam 11.20 pagi, dua lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 20 dan 30-an juga telah ditahan selepas dilihat berbual di bawah pokok di Jalan Mempari 9, Meru, Klang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurulhuda berkata, menerusi sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Selat Klang, dengan dibantu pihak tentera, seorang lelaki tempatan dengan dua penumpang warga Bangladesh ditahan selepas gagal memberikan alasan munasabah untuk berada di luar rumah.

Tambahnya, selain itu, menerusi SJR di hadapan Hospital Columbia, dua warga tempatan termasuk seorang wanita turut ditahan kerana gagal memberikan alasan munasabah serta gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020, Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen serta Seksyen 21 Akta Kesalahan Kecil," katanya.

Tegasnya, pihaknya menasihatkan kepada orang ramai yang telah diberi arahan kuarantin untuk kekal berada di rumah dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya didapati melanggar perintah. - Sinar Harian