Skip to main content

PERUTUSAN KHAS YAB PERDANA MENTERI MENGENAI COVID-19

Malaysiakini
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi.

Malam ini, sekali lagi saya berada di hadapan saudara-saudari sekalian untuk memaklumkan situasi semasa ancaman wabak Covid-19 yang telah menimbulkan kebimbangan bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia. 

Sehingga kini, wabak Covid-19 telah merebak di 135 buah negara. Seramai 162,711 orang telah disahkan positif Covid-19 di seluruh dunia.

Daripada jumlah ini, seramai 6,443 orang telah meninggal dunia. Di Malaysia, telah berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak, iaitu 190 kes semalam, disusuli 125 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini adalah sebanyak 553 orang. 

Daripada jumlah tersebut, seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang telah pun pulih. Kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini terutama perkembangan gelombang kedua. 

Keutamaan Kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat. 

Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin. Untuk itu, Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara. 

Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. 

Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi; 

Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. 

Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan 2 hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. 

Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020. 

Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari; 

Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara; 

Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti; 

Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan 

Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan. 

Saya sedar bahawa saudara-saudari mungkin merasakan bahawa tindakan yang diambil oleh Kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk saudara-saudari menjalani kehidupan seharian. 

Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini. 

Kita telah melihat peningkatan wabak Covid-19 secara mendadak daripada puluhan orang yang dijangkiti virus ini kepada ribuan orang dalam masa yang 3 singkat di beberapa buah negara lain. 

Sudah pasti saudara-saudari tidak mahu keadaan yang sama berlaku di negara kita. 

Kita tidak boleh menunggu lebih lama sehingga keadaan menjadi lebih meruncing. Tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak ini dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai. 

Inilah satu-satunya cara untuk kita mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa. Saya harap saudara-saudari dapat bersabar menghadapi dugaan ini. Jangan panik, jangan cemas, dan sentiasalah bertenang. 

Saya percaya dengan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh Kerajaan, kita mampu menyekat penularan wabak ini dalam masa yang terdekat. 

Kita telah melihat beberapa buah negara yang mengambil langkah yang agak drastik untuk mengawal penularan wabak ini seperti negara China yang telah menunjukkan penurunan mendadak kes-kes jangkitan Covid-19. 

Saya juga ingin memberi jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka adalah mencukupi. 

Saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalah Pergerakan ini berkuatkuasa. 

Saya merayu kepada saudara-saudari agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini. Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita. 

Saya juga ingin memaklumkan bahawa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak Covid-19. Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat ini dan memaklumkan kepada saudara-saudari perkembangan situasi wabak Covid-19 dari semasa ke semasa. 

4 Jika saudara-saudari mempunyai sebarang pertanyaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan, saudara-saudari boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula jam 12 tengah hari esok. 

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus bekerja siang dan malam untuk membendung wabak ini. 

Saya berdoa agar saudara-saudari sekalian terus cekal dan tabah dalam menjalankan tugas untuk negara demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini sentiasa terpelihara. 

Akhir sekali, saya berdoa agar saudara dan saudari sekalian sentiasa diberikan perlindungan oleh Allah S.W.T. Wabillahitaufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Popular posts from this blog

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

Konflik dalaman keluarga punca suami kelar isteri, bakar 4 kenderaan di rumah mentua

TANGKAK – Polis mengesahkan bahawa punca seorang suami mengelar isterinya sehingga maut berpunca daripada konflik dalaman keluarga yang dihadapi pasangan tersebut. Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pada mulanya pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian kebakaran melibatkan empat buah kenderaan. Bagaimanapun, suspek yang dibawa ke balai polis kemudian memaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Gambir. “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis telah digerakkan ke rumah suspek dan mendapati isteri suspek telah meninggal dunia dengan kesan kelar pada leher. “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berselubung dan sebilah pisau berlumuran darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dijumpai berhampiran wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu. Beliau turut memaklumkan bahawa hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah. Sebelum ini, katanya, s...

VIDEO: Kena Serang Dihadpan Rumah Kena Pukul Depan Bini

Alor Setar, 20 April — Seorang individu mendakwa telah diserang oleh beberapa individu dalam satu kejadian yang berlaku sekitar jam 7 petang di hadapan rumahnya di Taman Mas Merah, Alor Setar, Kedah. Menurut mangsa, insiden tersebut berpunca daripada salah faham dan ketidakpuasan hati suspek selepas mangsa menegur isteri salah seorang pelaku berhubung tindakan memotong kenderaan secara mengejut untuk memasuki simpang. Kejadian itu berlaku di hadapan ahli keluarga mangsa dan bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal, malah meninggalkan trauma yang mendalam. Mangsa menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa, apatah lagi di kawasan kediaman sendiri yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat. Rakaman kejadian melalui kamera litar tertutup (CCTV) telah diperoleh dan satu laporan polis telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mangsa turut memaklumkan bahawa semua bukti berkaitan telah diserahkan dan beliau bersedia memberi kerjasa...