Pecah Amanah Punca Wanita Ini Dipenjara Dan Melahirkan Anak Di Penjara Kajang

Bekas peguam wanita dipenjara dua tahun lagi oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan pecah amanah wang jual beli rumah milik pelanggannya berjumlah RM73,900.

Saidatul Karimah Nasron, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mahkamah memerintahkan Saidatul Karimah menjalani hukuman tersebut bermula hari ini di Penjara Kajang.

Tertuduh didakwa dengan curangnya melakukan pecah amanah apabila menggunakan wang berjumlah RM73,900 yang merupakan wang jual beli rumah milik Mohd Shahrizal Dalir, 43, untuk kegunaannya sendiri.

Saidatul Karimah didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Khairul Aiman Yusoff Looi merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah insaf dan menyesal atas kesilapannya.

"Tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan sama di Penjara Kajang dan melahirkan anak bongsu di sana. Anak tertuduh akan dilepaskan daripada jagaan (kepada keluarga atau Jabatan Kebajikan Masyarakat jika tidak dituntut keluarga) selepas berusia tiga tahun.

"Sekiranya mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan yang tinggi, ia akan memberikan kesan emosi kepada tertuduh dan anaknya," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan kesalahan yang dilakukan tertuduh menyebabkan mangsa tidak dapat memiliki rumah.

"Perbuatan tertuduh tidak menunaikan amanah yang diberi mangsa adalah perbuatan keji. Oleh itu, kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi tertuduh.

"Selain itu, perbuatan tertuduh juga telah mencalarkan reputasi intitusi guaman, dia sebagai pengamal undang-undang sepatutnya lebih tahu dan menjaga undang-undang dan tidak melakukan jenayah," katanya.

Sebelum prosiding bermula, tertuduh dilihat menidurkan anak bongsunya di atas pangkuannya serta berbual dengan ibunya di galeri awam.

Hakim Ahmad Kamal Arifin turut menasihati tertuduh supaya insaf dan tidak mengulangi kesilapan sama serta menjadi warganegara yang baik dan lebih bertanggungjawab. - Bernama