Mayat Bayi Perempuan Dalam Longkang

KUCHING: Mayat seorang bayi perempuan ditemui di dalam sebuah longkang di lorong 10 Fasa 3, Bandar Baru Samariang, dekat sini kelmarin.

Mayat bayi malang itu ditemui oleh orang awam, sekitar jam 6 petang, dalam keadaan masih bertali pusat.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani, berkata ibu bayi berkenaan sudah dikenal pasti semalam iaitu wanita berusia 20 tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata penahanan belum dibuat memandangkan wanita terbabit masih menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada daripada seorang doktor di HUS yang memaklumkan mengenai penyembunyian kelahiran bayi oleh seorang wanita, sekitar jam 11 pagi semalam.

“Seorang pesakit wanita datang mendapatkan rawatan di HUS dan disyaki cuba menyembunyikan kelahiran walaupun mengalami pendarahan serta tanda-tanda melahirkan anak.

“Apabila disoal, dia enggan mengaku ada melahirkan anak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Namun, penafian wanita itu terbongkar apabila mayat seorang bayi ditemui di Bandar Baru Semariang, yang juga tidak jauh dari tempat tinggalnya.

Awang berkata, mayat bayi itu dihantar ke HUS untuk tindakan lanjut dan kes masih dalam siastaan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan. - Berita Harian Online