Kunjungan media ke rumah berkenaan hari ini turut dikejutkan dengan beberapa kejadian aneh selain melihat beberapa bahagian di kawasan rumah yang tiba-tiba terbakar.
Kain, selimut dan sejadah terbakar tanpa diketahui puncanya, malah api marak dengan tiba-tiba sehingga memusnahkan banyak benda seperti pintu, almari dan mesin basuh.
Kejadian terbaru itu sekali lagi merisaukan lima sekeluarga - Rofeah Zakaria, 52, bersama tiga anaknya - Wan Nor Fatini Wan Hanafi, 17; Wan Mohd Faiz, 23, dan Wan Nor Fatihah, 21.
Ibu mentua Rofeah, Zainab Sulaiman, 82, turut tinggal bersama mereka.
Wan Nor Fatihah berkata, kejadian itu bukan pertama kali berlaku, malah sudah menjadi dilema keluarganya sejak tujuh tahun lalu.
Pada September 2017, rumahnya itu musnah termasuk sebuah rumah jiran menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.
KEJADIAN sejadah terbakar tanpa diketahui puncanya di sebuah rumah di Kampung Penambang Mas di Jalan Pantai Cahaya Bulan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
“Selepas hampir lebih dua tahun kami sekeluarga tidak diganggu dengan kejadian misteri ini, kami sekali lagi terpaksa melalui keadaan ini bermula dengan motosikal milik keluarga yang diletak di bawah rumah terbakar pada jam 8.45 malam, Ahad lalu.
“Saya buntu dengan apa yang terjadi, malah ada dalam kalangan penduduk kampung yang memulaukan kami sekeluarga selain ada pengamal perubatan tradisional yang mengambil peluang membuat pelbagai andaian mengarut.
“Api muncul tiba-tiba membakar sejadah atau sebarang kain yang pada asal berada di tempat lain yang kemudian ‘beralih’ secara misteri ke tempat yang dibakar,” katanya.
Wan Nor Fatihah berkata, sebelum ini pernah mereka ditempatkan di rumah kebajikan selepas kediamannya hangus terbakar namun tempat baru itu juga mengalami gangguan yang sama menyebabkan asrama turut terbakar.
“Sepanjang dua malam ini rumah kami ‘dijaga’ pihak bomba yang sentiasa bersedia kerana risau api yang muncul akan memusnahkan kediaman lagi. Kami tidak mahu kejadian sama berulang.
“Kami sekeluarga kini tidak lena tidur, malah hilang selera makan memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah misteri ini.
“Saya merayu untuk orang ramai tidak membuat andaian sendiri kerana hanya kami yang merasai penderitaan ini,” katanya. - Berita Harian Online