Kemaruk Selfie Punca Empat Sekeluarga


INDIA: Keghairahan mengambil ‘selfie’ di kawasan takungan air, membawa padah apabila perbuatan itu meragut nyawa seorang wanita yang baru berkahwin serta tiga ahli keluarganya.

Dalam kejadian yang berlaku di Kolam Pambar, Tamil Nadu, India itu, polis berkata, wanita berkenaan antara enam individu yang berpegangan tangan dan mengambil ‘selfie’, sebelum salah seorang daripada mereka tergelincir, dan akhirnya menarik ahli keluarga yang lain.

Suami wanita berkenaan hanya sempat menyelamatkan dirinya dan adik iparnya, tetapi nasib yang berbeza menimpa ahli keluarga yang lain.

Mengikut laporan agensi BBC, selain wanita itu, turut terkorban dalam kejadian itu ialah adik lelakinya yang berusia 14 tahun serta dua adik perempuannya, masing-masing berusia 18 dan 19 tahun.

Polis memaklumkan kesemua mayat sudah ditemui dan bedah siasat akan dijalankan

Dalam pada itu, laporan itu turut menyebut bahawa India mencatatkan kadar kematian tertinggi di dunia akibat mengambil ‘selfie’.

Mengikut kajian yang dijalankan US National Library of Medicine, sebanyak 259 kematian dicatat di antara tahun 2011 hingga 2017, diikuti Rusia, Amerika Syarikat, dan Pakistan. - Astro AWANI