Powered by Blogger.

Sunday, September 22, 2019

Warga Indonesia Ditahan Miliki 11 Motosikal Curi


Polis menahan 11 lelaki warga Indonesia dan merampas 11 buah motosikal yang dicuri dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Tampin Linggi di sini pada 18 September lalu.

Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, serbuan di ladang tersebut dibuat antara pukul 2 hingga 4 pagi susulan maklumat kes kecurian motosikal.

"Dalam serbuan itu pihak polis telah memberkas 11 lelaki warga Indonesia dan turut merampas 11 buah motosikal.

"Hasil semakan lanjut mendapati motosikal-motosikal tersebut dilaporkan hilang sebelum ini manakala enjin dan nombor casis telah diubah suai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, hasil soal siasat, suspek warga asing itu mengaku menggunakan motosikal terbabit untuk kegunaan semasa bekerja di ladang berkenaan.

Katanya, susulan penahanan kesemua suspek, polis telah berjaya menyelesaikan 11 kes melibatkan kecurian motosikal di Port Dickson, Seremban dan Segamat, Johor.

Ujarnya, kesemua suspek kini ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE