Video dari sudut lain pula.. 🤔


POLIS sudah menerima laporan berhubung kekecohan tercetus antara penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan peniaga di Padang Kota, Georgetown, semalam.

Ia susulan video tular di YouTube dan laman sosial sejak malam tadi berhubung kekecohan itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kedua-dua pihak iaitu peniaga dan MBPP sudah membuat laporan mengenai kejadian itu.

“Saya hanya dapat nyatakan ada laporan dibuat kedua-dua pihak itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Video pertama memaparkan cermin kenderaan saji (food truck) milik peniaga dipercayai dipecahkan pihak MBPP dan video kedua menunjukkan kenderaan peniaga berlanggar dengan kenderaan MBPP menyebabkan barangan jualan bertaburan di atas jalan raya.

Manakala video ketiga pula memaparkan kenderaan MBPP menghalang kenderaan saji peniaga.

Video berkenaan mendapat maklum balas warganet yang mendakwa MBPP menjalankan kerja tanpa belas kasihan dan kejam.

Sementara itu, Jurucakap Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung insiden kekecohan ketika pihak berkuasa tempatan itu menjalankan operasi bersepadu pada 9.20 malam.

Beliau berkata, operasi berkenaan disertai enam anggota dari Bahagian Perlesenan dan lapan dari Jabatan Penguatkuasaan MBPP di Jalan Tun Syed Shah Barakbah.

“Ketika menjalankan penguatkuasaan dan tindakan, terdapat peniaga kenderaan saji yang menjalankan perniagaan tanpa lesen dikeluarkan MBPP di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja 1979.

“Ketika tindakan diambil, pemilik kenderaan itu dalam usaha meloloskan diri serta bertindak agresif lalu merempuh lori tunda penguat kuasa MBPP secara berbahaya selain menimbulkan ancaman terhadap anggota yang bekerja serta orang awam,” katanya menerusi kenyataan.

Mengikut rekod MBPP, kes berkenaan adalah kali kedua membabitkan pemandu lori sama selepas kali pertama pada 25 Oktober 2017. Sumber : Harian Metro