Transgender Atau Mak Nyah Dilarang Mengajar Di Kemas

Gambar Hiasan
KERAJAAN tidak akan membenarkan pengambilan tenaga pengajar yang terdiri daripada golongan transgender di Taman Asuhan Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas).

Ketetapan itu dibuat bagi memastikan kanak-kanak tidak terkeliru dengan status guru yang mengajar mereka,

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kementerian amat teliti dalam proses pengambilan guru Kemas.

Pengambilan guru Kemas, jelas beliau, amat ketat sehingga setiap pemohon perlu lulus ujian psikometrik selain lulus dalam beberapa ujian lain.

“Setakat ini, tidak ada. Transgender ini kadang-kadang kita tak tahu bahawa dia adalah transgender. Kalau tengok dokumen, namanya mungkin Ali bin Mohamad, tapi yang datang (temuduga) ala-ala Anita.

“Ini budak-budak kecil, nanti budak-budak keliru,” kata Rina seperti dilaporkan portal berita Utusan Online pada Jumaat.

Rina berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK) di Institut Kemajuan Desa (Infra) Bangi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Kemas, Datuk Amiruddin Ariffin.

Pada majlis itu, seramai 198 pelatih menerima sijil SPAK masing-masing dan 18 daripadanya merupakan pelatih lelaki. - Astro AWANI