Janda Bakar Hidup-Hidup Perogol Yang Merogolnya


SEORANG janda yang menjadi mangsa rogol bertindak berani dengan membakar suspek sehingga maut dalam satu kejadian di Kolkata, India pada Isnin.

Wanita tersebut menyimbah minyak tanah pada tubuh lelaki berkenaan sebelum membakarnya hidup-hidup.

Suspek dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital manakala wanita berkenaan selamat biarpun mengalami kecederaan pada tangan dan mukanya.

Bercakap kepada polis, wanita itu memberitahu, suspek yang berusia 42 tahun menyerang dan memperkosanya di rumah semasa anaknya keluar.

“Wanita itu menyimbah minyak tanah ke tubuh suspek sebelum membakarnya,” kata jurucakap polis, Sajal Kanti Biswas.

India mempunyai rekod paling teruk berhubung kekerasan seksual dan lebih daripada 100 kes rogol dilaporkan berlaku setiap hari pada tahun 2016.

Biarpun suspek telah dibawa ke muka pengadilan, pihak berkuasa di negara itu didakwa melengahkan proses hukuman.

Sejak kebelakangan ini, beberapa kes jenayah dilaporkan melibatkan mangsa rogol yang bertindak mencederakan suspek.

Pada Disember lalu, seorang perempuan berusia 47 tahun memotong kemaluan suspek berumur 27 tahun kerana merogolnya. - Astro AWANI