Powered by Blogger.

Saturday, March 2, 2019

3 Gambar: Saya Tidak Pernah Menganggapnya Sebagai Madu - Nurulhidayah



BERMADU? pasti anda seram mendengarnya. Manakan tidak perkataan 'bermadu' cukup ditakuti oleh kaum wanita rata-ratanya. Malah ada yang anti ! Seboleh-bolehnya mereka langsung tidak mahu mendengarnya. 

Ia sebenarnya terlalu subjektif untuk dinilai. Pada satu sisi, ada yang melenting. Amarah bagaikan halilintar memanah bumi. Pendek kata, terlalu sensitif. Madu itu dianggap racun pembunuh!

Bagi mereka, hidup lebih indah jika berdua sahaja. Mereka juga lokek untuk berkongsi. Namun demikian, terdapat juga yang reda dengan ketentuan yang telah distruktur sejak di luh mahfuz. Ramai yang menganggap hidup bermadu itu pahit. Ya, memang pahit namun di sebalik kepahitan itu pasti ada manisnya. 

Hanya mereka yang bermadu sahaja boleh merasainya. Famili Femina kali ini ada buktinya. Mungkin kisah bermadu Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, 41, boleh dijadikan contoh buat pasangan bermadu yang mengharapkan kebahagiaan. 

Nurulhidayah terbuka untuk berkongsi kisah hidup bermadu yang dititinya dengan penuh rasa syukur lantaran sentiasa dilimpahi kebahagian.

"Lepas berkahwin, saya tanamkan dalam diri dengan menganggap kakak (panggilan terhadap madunya, Datin Bahazanariah Baharudin, 49) sebagai kakak kandung. Saya tidak pernah sekali-kali menganggapnya sebagai madu.

"Kenapa saya berbuat begitu? Kerana saya mahu menghormatinya dan mengelak daripada timbulnya perasaan nak marah, cemburu dan sebagainya. Bila saya setkan diri sebagai adik, saya akan lebih hormatinya. 

Dia bukan sebarangan isteri, dia telah melalui pelbagai kepahitan, cukuplah saya menghormati dan menyayangi," katanya.

Curahan bicara Nurulhidayah tampak ikhlas. Sedikit pun beliau tidak mengekspresikan nada kekesalan terhadap keputusannya menjadi isteri kedua. 

Wanita yang murah dengan senyuman itu juga mudah diajak untuk mengimbau kembali pertemuan awal bersama suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff, 49. 

Cerita Nurulhidayah, mereka berdua berkenalan pada 20 Februari 2017 ketika beliau mempengerusikan satu mesyuarat bersama kontraktor-kontraktor untuk menyiapkan pembinaan sebuah hotel.

"Saiful salah seorang yang terlibat. Ketika itu antara kami hanya sebagai kontraktor dan klien. Tak lebih dari itu. 

Lagipun saya sedia maklum statusnya sebagai suami orang. Jadi saya seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada jatuh cinta dengannya. Tetapi sekuat manapun saya elak, rupanya dia jodoh saya," katanya.

Seperkara yang betul-betul buat Nurulhidayah yakin bahawa perkahwinan akan terjadi apabila beliau tertarik dengan sifat madunya yang benar-benar jujur menerimanya.

"Saya nampak dia benar-benar ikhlas menerima saya sebagai madunya. Saya juga suka akan cara dan keterbukaan bakal madu pada masa itu. 

Proses penyatuan saya dan suami berjalan lancar tanpa sebarang halangan. Akhirnya, atas keizinan-Nya, saya dan Saiful dinikahkan di Masjidil Haram, Makkah pada 20 Jun 2017," katanya sambil memberitahu Bahazanariah sebelum ini adalah salah seorang pengikut Instagramny.

Sinopsis kehidupan Nurulhidayah terus bercahaya. Beliau sukar menolak betapa dirinya beruntung dikurniakan suami yang menekankan ilmu agama dan al-Quran dalam mendidik isteri-isteri dan enam anak. Bersembang tentang soal Saiful dengan dua isterinya, Nurulhidayah berkata, suaminya tiada masalah untuk berlaku adil.

"Dia akan bahagikan waktu bersama saya dan kakak secara berselang-seli. Bila kami ada kelapangan, kami akan pergi bercuti bersama-sama," ujarnya.

Ketika ditanya apa perasaan Nurulhidayah sepanjang dua tahun melewati fasa kehidupan sebegini? "Alhamdulillah, hampir dua tahun bergelar isteri, saya rasa sangat bahagia begitu juga dengan ahli keluarga lain. Kami juga bersama-sama mendalami ilmu agama untuk masa depan.

"Hanya segelintir pihak sahaja yang masih memandang negatif terhadap kehidupan poligami kami," ujar beliau yang mengharapkan cerita cinta mereka bertiga tidak akan berakhir. - Sinar Harian