TERSEBAR satu makluman di media sosial yang mengatakan mahkamah memerintahkan larangan merokok di restoran ditangguhkan.
Melalui mesej yang tular itu, perokok boleh kembali merokok di restoran dan perlu menjadi perokok yang bertanggungjawab.
Mesej itu turut memaparkan barisan peguam yang didakwa berjaya mendapat penangguhan larangan merokok itu.
FAKTA
Kementerian Kesihatan menegaskan tiada arahan mahkamah diterima bagi memberhentikan atau menangguhkan penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mengingatkan semua pihak supaya terus mematuhi peraturan.
“Kementerian Kementerian akan terus menjalankan aktiviti penguatkuasaan pendidikan sehingga Jun depan, disusuli penguatkuasaan sepenuhnya pada Julai ini,” katanya.
Noor Hisham berkata, semua lapisan masyarakat perlu menerima pelaksanaan larangan merokok sebagai langkah positif ke arah meningkatkan tahap kesihatan.
“Ini juga dapat membudayakan amalan tidak merokok dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, selaras hasrat kerajaan mencapai matlamat negara yang bebas daripada amalan merokok,” katanya. - Sinar Harian