Wanita bujang menukar status kepada wanita bersuami secara tiba-tiba. Itu modus operandi terbaru bagi memerangkap mangsa dengan cinta wanita cantik dan seksi yang awalnya mengaku bujang.
Selepas menjalin hubungan cinta dan terlanjur, tiba-tiba muncul seorang lelaki mendakwa suami kepada wanita berkenaan dan meminta sejumlah wang daripada teman lelaki kepada ‘isterinya’ sebagai cara penyelesaian kononnya kerana menjalin hubungan terlarang dengan isteri orang.
Terbaru, empat mangsa berusia sekitar 30 tahun hingga 40-an tampil ke Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, mendakwa menjadi mangsa kepada sindiket berkenaan dengan jumlah kerugian mencecah RM80,000.
Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata mangsa kebiasaannya berkenalan dengan wanita cantik melalui laman sosial atau laman mencari jodoh atas talian sebelum mulai rapat dan menjalin hubungan cinta.
“Dalam kes yang terjadi kepada empat mangsa ini, wanita atau sindiket ini akan mencari mangsa secara rambang dan mula menggunakan ayat cinta sebelum menjalinkan hubungan cinta dan berjumpa secara bersemuka termasuk di bilik hotel.
“Kebiasaannya sindiket mengambil masa satu ke dua bulan sebelum seorang lelaki muncul dan mengaku suami kepada wanita berkenaan. Suami terbabit bermati-matian mendakwa wanita berkenaan adalah isterinya sehingga mencetuskan pergaduhan,” katanya ketika ditemui di Wisma MCA, di sini, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan aduan daripada mangsa, lelaki ini akan berasa bersalah kerana menjalin cinta terlarang dengan isteri orang dan bersetuju membayar sejumlah wang sebagai cara menyelesaikan perkara itu.
“Sindiket akan meminta wang antara RM20,000 hingga RM50,000 bergantung keadaan ekonomi mangsa. Malah sindiket akan berterusan meminta wang sekiranya mangsa seakan akur dengan permintaan itu.
“Pasangan itu mendakwa terpaksa bercerai dan memerlukan wang untuk proses itu dan bayaran ganti rugi. Sehingga kini empat mangsa membuat aduan dan beberapa mangsa membuat aduan menerusi telefon,” katanya.
Sehubungan itu, Michael meminta orang ramai supaya berhati-hati dengan modus operandi sindiket ini yang mengumpan wanita cantik untuk menjalinkan hubungan.
“Jika mereka menghadapi masalah seperti ini, saya minta mangsa untuk tampil membuat aduan dan kita akan membantu mereka dari segi undang-undang,” katanya. - Berita Harian Online