Powered by Blogger.

Saturday, November 10, 2018

Harimau Malaya Perlu Lebih Garang Lawan Loas


Ketiadaan watak pemusnah di jentera depan membimbangkan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelang aksi kedua Kumpulan A, menentang Laos dalam kempen Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Selepas menang tipis 1-0 ke atas Kemboja pada aksi pertama di Stadium Olimpik, Phnom Penh, Khamis lalu, Cheng Hoe membayangkan bakal melakukan rombakan terutama di bahagian serangan.

"Ia saya akan buat sedikit pertukaran memandangkan kelemahan kita di serangan agak ketara ketika aksi pertama. 

Mungkin ia (rombakan) membabitkan pertukaran pemain atau perubahan posisi pemain, itu kita kena tunggu malam esok.

"Saya mahu pasukan gunakan kesempatan beraksi di laman sendiri dengan sebaik-baiknya dan memburu seberapa banyak gol, sebelum kita berdepan pasukan kuat Vietnam dan Myanmar," katanya di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pada aksi sulung di Phnom Penh, taring skuad Harimau Malaya agak tumpul apabila hanya sekali berjaya merobek gawang Kemboja menerusi tandukan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-30.

Tambahan gol yang diharapkan daripada rangkaian penyerang negara, Zaquan Adha Abd Radzak, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh gagal disudahkan, termasuk percubaan Safawi dan Sumareh yang terkena tiang.

Cheng Hoe, 50, yang menjadi penolong jurulatih Datuk K Rajagobal ketika menjulang kejuaraan pertama 2010 di Jakarta, turut meminta pemainnya supaya fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah terutama di awal permainan.

Katanya, pemain perlu cepat menyesuaikan diri dengan bahang perlawanan serta jangan terlalu ghairah ketika menyerang, kerana corak serangan balas penyerang Laos cukup pantas dan berbahaya.

"Pasukan perlu fokus dan konsisten sejak minit awal hingga akhir permainan. Kita tidak boleh memandang mudah cabaran Laos yang mampu menghukum pasukan jika kita leka," katanya.

Kemenangan ke atas skuad V Sundramoorthy malam esok akan memberi kelebihan kepada Harimau Malaya sebelum mengharungi aksi lebih sukar selepas ini.

Jika menang, Malaysia akan membawa kelebihan psikologi serta semangat tinggi untuk berdepan dua pasukan yang mara ke separuh akhir pada 2016 – Vietnam dan Myanmar. - Berita Harian Online