Dirogol 8 Lelaki Sebelum Hukum Gantung.


JAKARTA - INDONESIA. Kisah tragis menimpa si gadis dikenakan hukuman mati oleh negara Arab Saudi dianggap zalim dan tidak berperikemanusian.

Tuti Tursilawati bekerja sebagai pembantu rumah di negara itu didakwa membunuh majikannya pada 2010 dan meninggal dunia pada 29 Oktober lalu.

Mungkin tidak ramai mengetahui kisah sedih ini kerana hanya popular di negaranya sendiri namun pemergiannya kini tular di media sosial meruntun jiwa netizen.

Memetik Kompas, hukuman matinya dijatuhkan tanpa pengetahuan kerajaan Indonesia termasuk ahli keluarganya.

Mengimbau kisahnya, si gadis ini telah mencari rezeki buat keluarganya di Arab Saudi bersama ibunya, Iti Sarniti, 52.

Dia ditugasnya untuk menjaga bapa kepada Naif yang dikatakan uzur, Suud Mulhaq Al-Utaibi.

Namun setelah bekerja selama lapan bulan, hidupnya diselubungi duka kerana tertekan tidak menerima gaji selama enam bulan.

Bukan itu sahaja, Tuti juga sering diganggu oleh majikannya dari sudut seksual hingga mengalami tekanan.

Jiwanya memberontak untuk menyelamatkan diri...

Akhirnya Tuti mengambil keputusan berat terpaksa membunuh bapa majikannya. Keputusan itu terpaksa dilakukan demi menyelamatkan diri.

Tindakan Tuti memang salah malah dia mengakui melarikan barang kemas dan wang majikannya.

Dalam sibuk melarikan diri, dia dikatakan telah didatangi seorang lelaki konon membantu ke Makkah.

Namun lelaki itu ada agendanya tersendiri apabila membawanya ke sebuah rumah kosong.

Hidup Tuti gelap seketika, apabila dia telah dirogol oleh lapan lelaki hingga berkali-kali.

Tidak berdaya melawan, dia akhirnya dibebaskan dan di bawa ke Makkah berhampiran Masjidil Haram manakala barangannya dicuri.

Malang nasibnya, sehari selepas kejadian itu, Tuti ditangkap pihak berkuasa Arab Saudi.

Dengan kerelaan hati, dia mengaku membunuh bapa majikannya dengan cara memukul menggunakan sebatang kayu dan mengikat kaki dan tangan lelaki tersebut kerana tidak tahan dipukul dan menerima gangguan seksual.

Malah dia juga mengaku membunuh kerana ingin menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, Arab Saudi memutuskan hukuman mati pada Tuti tanpa pembelaan kerana saat dia memukul majikannya sehingga mati, dia tidak dirogol dan merancang pembunuhan ini.

Keputusan itu membuatkan rakyat Indonesia marah kerana Tuti dihukum bunuh tanpa pengetahuan kerajaan Indonesia.

Rentetan dari kes tersebut, isu ini sedikit sebanyak menggugat hubungan antara kedua negara.

Tarikh keramat 29 Oktober, Arab Saudi telah menjalankan hukuman mati ke atas Tuti di Thaif.

Keluarga Tuti terkejut menerima perkhabaran itu kerana mereka baru sahaja membuat rakaman telefon dan Tuti tidak membuka mulut tentang hukuman tersebut.

Tuti memberitahu, dia berada dalam keadaan sihat dan keluarganya tidak perlu bimbang.

Isu ini terus mendapat perhatian Presiden Indonesia Joko Widodo yang mesra dipanggil Jokowi.

Beliau amat menyesali atas apa yang berlaku kerana tiada pemberitahuan berhubung hukuman tersebut.

Susulan itu, Duta Besar Arab Saudi telah dipanggil dan rakyat terus melakukan protes dan meminta kerajaan menamatkan penghantaran pekerja asing ke Arab Saudi. - Sinar Harian