Tukang Urut Wanita Terkedu Diserbu


KLANG - Tukang urut wanita warga asing terkedu selepas diserbu polis ketika sedang leka melayan pelanggannya.

Itu yang berlaku dalam Ops Noda di pusat urut di Taman Bayu Tinggi, di sini, kira-kira jam 8.45 malam tadi.

Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, dalam serbuan di dua buah premis di kawasan tersebut, seramai tujuh wanita warga asing disyaki bekerja sebagai tukang urut telah ditahan.

“Pemeriksaan mendapati empat orang melibatkan warga Thailand, China (2 orang) dan seorang lagi warga Vietnam.

“Turut ditahan adalah tiga lelaki tempatan merupakan penjaga premis,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pihaknya juga telah merampas pelbagai barang antaranya tuala, minyak urut, tisu, jadual kerja dan wang tunai.

Mengulas lanjut, pemeriksaan mendapati salah sebuah premis ini beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.

“Siasatan masih dijalankan dan kesemua tangkapan berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun telah dibawa ke balai untuk tindakan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. - Sinar Harian