Suspek Kes Langgar Lari Wan Amirah Di Cyberjaya Direman Semula


BANTING: Seorang suspek dalam kes langgar lari di Shaftsbury Square, Cyberjaya yang mengakibatkan kematian seorang kakitangan Telekom Malaysia Berhad minggu lalu, ditahan reman semula hari ini.

Lelaki warga Libya yang berusia 24 itu, juga pelajar di sebuah universiti swasta semalam dilepaskan daripada tahanan reman namun ditahan semula dan kini disiasat bagi kesalahan merusuh.

Perintah reman dua hari bermula hari ini dan berakhir esok, dibenarkan Majistret Mohd Isa Md Nor dari Mahkamah Majistret Telok Datok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini.

Mohd Isa mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pegawai penyiasat dari IPD Sepang.

Peguam Dinesh Muthal yang mewakili suspek, berkata, anak guamnya hanya dibebaskan sebentar selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam memerintahkan polis melepaskannya dengan dua lagi suspek sebelum jam 5 petang.

“Anak guam saya dilepaskan di IPD Sepang. Bagaimanapun, tidak lama kemudian dia ditahan semula kira-kira jam 4.30 petang.

“Dia kini ditahan reman selama dua hari mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata. Dia didakwa terbabit dalam pergaduhan dengan beberapa warga Yaman pada Ogos lalu,” katanya ketika ditemui NSTP di IPD Kuala Langat hari ini.

Lelaki itu bersama-sama dua lagi ditahan reman selama lima hari sejak Selasa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh, tetapi Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman semalam mengarahkan mereka dilepaskan selepas seorang daripada mereka mengemukakan permohonan semakan terhadap perintah Mahkamah Majistret Sepang.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata, mahkamah itu mendapati permohonan yang dibuat bagi perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak menunjukkan bahawa suspek dilepaskan dahulu daripada tahanan reman terdahulu dan ditangkap semula.

Beliau dilaporkan berkata, mahkamah yang lebih rendah itu terkhilaf apabila ia tidak melepaskan ketiga-tiga suspek daripada perintah reman terdahulu yang dibuat mengikut Akta Pengangkutan Jalan sebelum mereka disiasat untuk kesalahan bunuh.

Kes itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan cuai hingga mengakibatkan kematian.

Sementara itu, Dinesh berkata, Mohd Isa juga membenarkan satu permohonan tahanan reman selama empat hari terhadap suspek kelima kes itu untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek itu yang juga seorang pelajar universiti swasta dan berasal dari Yaman, sebelum ini ditahan reman selama empat hari mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, anak guamnya itu sebelum ini tahan pada 23 Oktober lalu sebelum perintah tahanan reman selama empat hari terhadapnya diperoleh keesokan harinya.

Kesemua suspek ditahan selepas mangsa, Wan Amirah Wan Alias, 31, cedera parah dirempuh dan diseret sebuah kereta di hadapan bangunan Shaftbury Cyberjaya pada jam 7.34 malam dan disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya jam 4 pagi. - Berita Harian Online