Pengasuh Kejam, Hanya Kerana Lewat Bayar Yuran Asuhan


KEPALA dipukul menggunakan botol susu. Itu tindakan kejam seorang pengasuh hanya kerana ibu seorang kanak-kanak lelaki yang dijaganya lewat membayar yuran asuhan.

Namun, tindakan wanita berusia 23 tahun itu terbongkar selepas mangsa berusia setahun itu tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan kecemasan, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, ibu mangsa berusia 17 tahun itu dimaklumkan mengenai kejadian jam 8.35 pagi oleh suspek menerusi kiriman Whatsapp mengatakan kanak-kanak itu pucat selepas bermain.

Menurutnya, ibu mangsa kemudian bergegas ke rumah suspek di Batu Kawa, Padawan namun terkejut selepas melihat anaknya tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Unit Kecemasan HUS.

“Pemeriksaan lanjut doktor mendedahkan mangsa dikatakan tidak diberikan makan untuk tempoh tiga minggu menyebabkan dia diserang sawan dan jangkitan kuman pada paru-paru selain lebam di kepala, namun tidak diketahui punca kecederaan itu.

“Ibu mangsa memaklumkan dia menghantar anaknya ke rumah suspek pada 23 Oktober lalu dan mangsa diasuh suspek sejak tiga minggu lalu bermula jam 8 pagi hingga 10.30 malam,” katanya ketika dihubungi.

Aidil berkata, susulan daripada laporan yang dibuat ibu mangsa, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan menahan suspek jam 2 petang di rumahnya, Sabtu lalu.

Beliau berkata, suspek mengakui memukul kepala mangsa menggunakan botol susu kerana berang apabila ibu kanak-kanak itu lewat membayar yuran asuhan.

“Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)a Akta Kanak-Kanak 2001 dan mangsa kini masih menerima rawatan lanjut dan perlu pemantauan rapi,” katanya. - Harian Metro