MAHKAMAH Majistret Seremban hari ini, menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap pemilik syarikat Juta Kelulut Global Sdn Bhd yang sebelum ini dikaitkan dengan skim penipuan perumahan di beberapa negeri.
Majistret Mahyun Yusof membuat keputusan itu terhadap Siti Norbaiyah Yahya, 43, yang turut dikenali sebagai 'Datuk Anggun' selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh menipu seorang lelaki berusia 33 tahun, dengan memberi cek RM15,000 didaftarkan atas nama Juta Kelulut Global Sdn Bhd, namun tidak dapat ditunaikan kerana dia mengarahkan bank menghentikan pembayaran.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh melakukan kesalahan yang sama terhadap mangsa yang sama dengan masing-masing membabitkan cek bernilai RM17,500.
Semua kesalahan itu dilakukan di kawasan Nilai, dekat sini, masing-masing pada 31 Mac, 30 April dan 31 Mei, tahun lalu.
Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan, tertuduh dipenjara selama 11 bulan bagi pertuduhan pertama dan masing-masing setahun bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dengan semua hukuman bermula serentak dari tarikh dia ditahan polis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohamad Azri, manakala tertuduh diwakili peguam Noor Azizi Abdull Aziz.
Mengikut fakta kes, mangsa tertarik dengan tawaran projek pembinaan banglo di tanah sendiri yang diiklankan di Facebook tertuduh, sebelum menandatangani perjanjian jual beli serta dokumen bagi melengkapkan tempahan, pada 26 Jun 2016.
Mangsa kemudian membuat pembayaran sebanyak RM60,000 kepada syarikat itu, namun selepas mendapati tiada kerja pembinaan dilakukan di tanahnya selama enam bulan, dia cuba mendapatkan penjelasan daripada tertuduh.
Tertuduh bagaimanapun mengelak untuk bertemu mangsa, sebelum memberitahu akan memulangkan wang berjumlah RM57,000 dengan sejumlah RM3,000 dipotong bagi urusan ukur tanah.
Mangsa kemudian menerima tiga cek daripada syarikat milik tertuduh antara 31 Mac hingga 31 Mei tahun lalu, namun tidak dapat ditunaikan. - Harian Metro