Sehubungan itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menggesa Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail untuk menarik balik kenyataan suruhanjaya itu semalam, yang membidas sabitan itu sebagai hukuman tidak berperikemanusiaan dan satu bentuk penyeksaan.
Menurut pemimpin PAS itu, wanita berkenaan, masing-masing dikenakan denda RM3,300 dan enam sebatan, yang adalah dalam bidang kuasa mahkamah syariah.
Sebelum ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengecam keputusan Mahkamah Syariah Terengganu pada 12 Ogos 2018 yang menjatuhkan hukuman enam sebatan masing-masing kepada dua wanita serta denda sejumlah RM3,300 kerana cuba melakukan hubungan sejenis di Dungun.
Suhakam juga menegaskan, hukuman sebat dalam keadaan apapun melanggar larangan mutlak penyeksaan dan hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan atau menghina di bawah undang-undang antarabangsa.
Pada Ahad lalu (2 Ogos), Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengenakan hukuman sebatan dan denda ke atas sepasang wanita kerana cuba melakukan hubungan sejenis ketika ditahan dalam sebuah kereta, di Dungun, dalam satu insiden pada April lalu. - Malaysiakini