Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh hari ini memberitahu bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mewujudkan modul baharu bagi kursus perkahwinan.
Modul baharu tersebut akan lebih di komprehensifkan jika dibandingkan dengan modul yang sedia ada sekarang ini.
"Modul baharu ini termasuklah mengenai tanggungjawab suami-isteri, komunikasi yang lebih baik di antara kedua pihak supaya dapat mewujudkan persefahaman yang lebih baik, bukan sekadar mengenai apa itu perkahwinan, rukun perkahwinan dan perkara sah perkahwinan.
"Modul baharu untuk kursus perkahwinan ini kita rasa perlu dilaksanakan kerana modul perkahwinan yang sedia ada, orang hadiri cuma untuk dapatkan sijil yang melayakkan untuk berkahwin,” katanya kepada pemberita selepas Program Dialog Wanita Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Fuziah juga memberitahu bahawa pihaknya telah pun mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut bersama dengan ketua-ketua hakim syarie dan semua Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri yang bertanggungjawab ke atas agama Islam dan ianya masih lagi berada dalam perbincangan.
"Perkahwinan itu ibarat perjanjian dalam kehidupan yang panjang dan memerlukan persefahaman, jadi latihan yang sewajarnya perlu supaya 6 bulan pertama tempoh perkahwinan yang dianggap tempoh yang paling sukar untuk pasangan suami isteri memahami satu sama lain dapat ditempuhi dengan baik", katanya.
Menurut Fuziah lagi, dengan adanya modul baharu tersebut mereka yang berkahwin akan didedahkan dengan kemahiran untuk melayari bahtera perkahwinan mereka dengan tekanan dari keluarga, persekitaran, pekerjaan dan sebagainya.
"Terlalu banyak perubahan dalam kehidupan selepas berkahwin yang akan dihadapi, oleh itu dengan adanya modul baharu ini, sekurang-kurangnya boleh menyiapkan pasangan untuk menghadapi tekanan sebegini,” katanya. - Bernama