Seorang lelaki kurang siuman bertindak kejam dengan memenggal dan membakar kepala seorang wanita warga emas gara-gara mendakwa mendengar seruan hantu memintanya membunuh mangsa.
Mangsa, Gelingi Ngaing, 75, diserang suspek ketika berehat bersama menantu perempuannya di ruang tamu rumah mereka di Rumah Panjang Lumpoh Bratong Baru, Roban di sini, pada kira-kira pukul 2.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mordani Tanin berkata, kejadian pembunuhan itu dilaporkan kepada polis oleh anak tuai rumah panjang yang bekerja sebagai pembantu kedai di bandar ini pada pukul 3 petang.
Menurutnya, polis bertindak atas laporan tersebut telah pergi ke rumah mangsa dan menemukan badan wanita warga emas itu tanpa kepala dalam keadaan tertiarap di ruang tamu.
“Pemeriksaan lanjut menemukan dua bilah parang, sebilah kapak dan satu batu pengasah di tempat mencuci berhadapan dengan jalan masuk ke rumah panjang tersebut iaitu dipercayai digunakan suspek untuk menetak mati mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mordani, polis berjaya menemukan serpihan tengkorak dipercayai milik mangsa kira-kira tiga meter dari tempat senjata ditemukan.
Katanya, siasatan lanjut membawa kepada penemuan serpihan tengkorak yang telah dibakar bersama sebuah motosikal di simpang masuk ke rumah panjang tersebut.
“Berdasarkan keterangan saksi iaitu menantu mangsa, suspek tiba-tiba meluru masuk ke dalam rumah dan terus melibas parang ke leher ibu mertuanya, manakala dia terselamat kerana sempat melarikan diri melalui pintu dapur,” katanya.
Beliau berkata, suspek berusia 57 tahun yang merupakan seorang petani dan dipercayai kurang siuman berjaya ditangkap berhampiran tempat kejadian.
Tambahnya, suspek semasa disoal siasat mengaku memenggal kepala mangsa dan membakarnya bersama sebuah motosikal milik anak lelaki wanita itu dengan mendakwa dia bertindak demikian setelah mendengar seruan hantu untuk membunuh mangsa.
Katanya. mayat mangsa dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat dan suspek ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Utusan Online