Sebaliknya, Dr Mahathir berkata beliau hanya mahu mengetahui pendirian Australia mengenai isu tersebut.
“Saya mahu mengetahui apa pendirian Australia mengenai perkara ini,” katanya pada sidang medianya di lobi parlimen hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya rangka pertemuannya dengan Julie.
Bishop sedang dalam rangka lawatan ke Timor-Leste, Malaysia, Singapura dan Indonesia bermula semalam hingga 7 Ogos depan.
Lawatan itu dilapor bagi mengukuhkan hubungan negara itu dengan jiran-jirannya di Asia Tenggara.
Pada 8 Jun lalu, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak membuat permohonan agar Sirul yang disabitkan kesalahan membunuh diserah balik kepada negara ini.
Beliau berkata, bekas anggota polis yang disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati atas pertuduhan membunuh model Mongolia Altantuya Shaaribuu tidak dibenarkan dihantar pulang.
Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 mendapati Azilah Hadri dan Sirul didapati bersalah membunuh warga Mongolia itu dan menjatuhi hukuman mati kepada mereka.
Sirul bagaimanapun sebelum itu berjaya terbang ke Australia dan berada dalam tahanan imigresen negara itu.
Penganalisis Politik, Abdul Razak Baginda, yang dituduh bersubahat dibebaskan dari kesalahan itu. - Malaysiakini