Bayi Maut Tersedak Susu Selepas 6 Hari Di Taska.


Bandaraya Melaka - Seorang bayi lelaki berusia empat bulan telah pun meninggal dunia selepas dipercayai akibat daripada tersedak susu dibawah jagaan pengasuh.

Bayi tersebut dikatakan telah tersedak susu di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Bukit Baru Melaka pada hari ini selepas ibu bapa kanak-kanak tersebut menghantarnya ke sana.

Menurut laporan, bayi tersebut yang dikenali sebagai Yusof Al-Baihakki Zainal abidin telah dikejarkan ke unit rawatan kecemasan Hospital Melaka oleh pihak taska tersebut sekitar jam 12 tengah hari selepas dikatak tidak sedarkan diri.

Walau bagaimanapun selepas 30 minit pihak hospital telah mengesahkan bahawa bayi tersebut telah pun meninggal dunia.

Bapa bayi tersebut, Zainal Abidin Deraman berusia 34 tahun yang bertugas sebagai anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah memaklumkan bahawa dia hanya mengetahui perkara yang menimpa anaknya itu selepas dihubungi oleh isterinya sebelum dia bergegas ke hospital terbabit.

Menurut Zainal, dia telah menghantar anak keduanya itu ke pusat jagaan berkenaan sekitar jam 7 pagi dalam keadaan sihat malah hariu ini baru merupakan hari ke enam anaknya itu dihantar ke taska berkenaan.

Yusof sebelum ini telah dijaga oleh ibu mertuanya selama dua minggu selepas isterinya Roslina Iamail berusia 34 tahun yang merupakan guru memulakan tugasnya semula.

"Hari ini baru hari ke enam di taska. Tibanya saya di sini doktor beritahu anak saya dah meninggal.

"Menurut pihak taska, anak saya telah tidur lama selepas diberi susu kira-kira pukul 8 lebih sampai pukul 11 tapi ketika pukul 11 pagi tersebut muka dia nampak biru dan mereka buat CPR sebelum menghantarnya ke hospital.

"Itu taska punya ceritalah", kata Zainal dalam sebak selepas kehilangan anaknya itu.

Sebagai seorang ayah dia amat terkilan dengan insiden yang berlaku kepada anaknya memandangkan dia serta isteri telah menunggu selama lapan tahun sebelum mendapat zuriat yang kedua ini.

Walaubagaimanapun dia redha dengan pemergian arwah dan enggan menunding jari pada mana-mana pihak dan menyerahkan segalanya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan penyiasatan.

"Saya redha dengan apa yang berlaku tetapi saya cuma nak tahu punca sebenar anak saya meninggal dunia dan saya minta bedah siasat dibuat supaya saya berpuas hati. Buat masa ini kita masih tak tahu punca kematiannya.

"Cuma saya merasa amat sedih dia meninggal ketika saya tiada malah perkara sebeginilah yang saya nak elakkan, kan banyak isu sebab itu saya bagi mak mertua saya jaga dia," kata Zainal Abidin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Supt Afzanizar Ahmad telah pun mengesahkan kejadian tersebut dan telah memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi kes tersebut.

Kes berkenaan telah diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat yang masih belum dikeluarkan.

Manakal proses bedah siasat berkenaan hanya akan dijalankan pada jam 8malam ini di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka. -Astro Awani.