Zahid Hamidi Menang Besar, Presiden Baru UMNO


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus mendapat kepercayaan dan keyakinan ahli UMNO apabila beliau dipilih sebagai Presiden UMNO baharu bagi tempoh 2018-2021.

Akhirnya Umno mendapat nakhoda baru selepas kapal mereka berlabuh akibat dibadai pengundi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini dilihat bakal menjadi perdana menteri - sehinggalah BN kecundang di tangan Pakatan Harapan (HARAPAN) - dipilih majoriti anggota parti untuk menjadi presiden mereka.

Keputusan itu sekali gus menjulang Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang sebelum ini menjalankan tugas pemangku Presiden UMNO sebagai Presiden UMNO kelapan.

Setakat jam 9.40 malam ini anggota parlimen Bagan Datuk itu memperoleh 93 undi sekali gus tidak memungkinkan mana-mana calon mengejarnya lagi.

Dua lagi calon utama yang bersaing untuk mengisi tempat ditinggalkan oleh Datuk Seri Najib Razak ialah anggota parlimen Rembau yang juga bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, serta veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Khairy mendapat 51 undi manakala Tengku Razaleigh cuma 23 undi.

Untuk rekod ini adalah percubaan kedua Tengku Razaleigh untuk menjadi presiden selepas 1987. Kira-kira 31 tahun lalu cubaan beliau digagalkan oleh kelebihan 43 undi yang memihak kepada perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Khairy sebelum ini menyerahkan borang pencalonannya hanya beberapa jam sebelum pencalonan ditutup.

Salah seorang pemimpin Umno yang meminta namanya dirahsiakan memberitahu bahawa Khairy mungkin boleh menang jika dia tidak memecahkan undi dan sebaliknya menerima tawaran Tengku Razaleigh untuk bertanding sebagai presiden sebelum ini.

"Atau jika Khairy tidak bertanding, Tengku Razaleigh mungkin boleh menang," katanya.

Pemilihan Umno menggunakan sistem yang menyerupai pemilihan koleh, dengan pemenang adalah yang mendapat undi bahagian paling banyak (satu bahagian satu undi).

Mesyuarat perwakilan UMNO yang bermula hari ini membabitkan 191 bahagian dengan agenda utama hanya untuk memilih barisan kepemimpinan peringkat Bahagian dan Majlis Tertinggi bagi sesi 2018-2021.

Kemenangan Ahmad Zahid begitu signifikan pada pemilihan yang dianggap sebagai ibu segala demokrasi, selepas Barisan Nasional (BN) kecundang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pemilihan kali ini juga amat bersejarah kerana sejak 1988 susulan tidak ada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden. Kali ini, ia dibuka untuk dipertandingkan.

Ahmad Zahid, 65, adalah Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti mempunyai pengalaman luas lebih 30 tahun dalam bidang politik selain berpengalaman luas dalam bidang perniagaan perbankan.

Beliau juga pernah menjawat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Beliau kemudian menyandang jawatan Menteri Pertahanan (2009-2013) sebelum bertukar ke portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri sejak 16 Mei 2013.

Berkelulusan Doktor Falsafah dalam jurusan Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), anak kelahiran Bagan Datuk, Perak itu mula menjadi anggota Kabinet sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2008-2009) semasa pentadbiran Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelum menjadi anggota Kabinet, beliau pernah berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan pada tahun 2004 dan Timbalan Menteri Penerangan (2006-2008).

Permulaan karier politiknya bermula 1984. Ketika itu, beliau bergiat aktif sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk sehinggalah terpilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia bagi tempoh 1996 hingga 1999.

Pada 1991, beliau dilantik sebagai anggota Dewan Negara selama satu penggal.