Tun Dr Mahathir Tolak Tawaran Jho Low, Minta Kekebalan.


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menolak tawaran ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low untuk mendapatkan kekebalan daripada dikenakan pertuduhan undang-undang mengenai skandal 1MDB.

Tawaran itu dikatakan sebagai pertukaran bagi Low yang kini sedang diburu oleh pihak berkuasa pelbagai negara untuk menggugurkan tuntutannya terhadap aset-aset dipercayai berkaitan 1MDB bernilai lebih satu bilion dolar.

Menurut Wall Street Journal, permintaan itu disampaikan kepada Mahathir melalui perantara. Walau bagaimanapun, laporan itu tidak menyebut bila tawaran tersebut dibuat.

Tidak jelas jika permintaan ini dibuat ketika Low dilaporkan telah bertemu dengan Dr Mahathir sewaktu beliau baru mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri bulan lalu.

Individu berkait Najib dan keluarga

Low dipercayai menjadi individu utama berhubung skandal global 1MDB yang bernilai berbilion dolar dan berkait rapat dengan Datuk Seri Najib Razak yang mengasaskan syarikat pelaburan negara tersebut dan keluarga bekas perdana menteri itu.

Low dan Najib menjadi tumpuan penyiasatan dana dan beberapa anak syarikatnya oleh pihak berkuasa Malaysia, Singapura, Switzerland dan Amerika.

Low dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk hadir sesi soal-siasat, sementara Singapura telah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya pada 2016.

Usaha untuk membawa Jho Low pulang ke negara setakat ini tidak membuahkan hasil, dengan Mahathir mengatakan kerajaan baru tidak dapat membawa pulang Low kerana Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan negara tempat Low berada sekarang.
Bagaimanapun, perdana menteri tidak menamakan negara berkenaan.

Wall Street Journal memetik orang-orang yang mempunyai pengetahuan mengenai keberadaan Low menyatakan ahli perniagaan itu bersembunyi di China, antara tanah besar, Macau dan Hong Kong.

Peguam Low tidak memberi maklum balas terhadap permintaan Wall Street Journal untuk mendapatkan ulasan.

Dilaporkan Low telah membuat beberapa percubaan lain untuk menghubungi pihak berkuasa Malaysia bagi membantu siasatan.

Dalam satu kes, beliau mengarahkan peguamnya untuk menghubungi SPRM.

Di lain pihak, peguamnya pula dikatakan telah memulakan perbincangan dengan pihak berkuasa untuk bertemu dengan Jho Low di Dubai, namun pengerusi jawatankuasa siasatan 1MDB, Tan Sri Abu Talib Othman berkata tidak mengetahui apa-apa berhubung dakwaan rancangan itu.

Sebelum ini Jho Low dikatakan cuba berjumpa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menawarkan bantuan dalam siasatan ke atas 1MDB.

Ketika itu, kerajaan baru belum mengumumkan akan membuka siasatan penuh ke atas skandal berkenaan.

"Sebaik Tun (Dr Mahathir) menjadi perdana menteri, Jho Low mengirim pesan bahawa dia sanggup bekerjasama dalam kes 1MDB.

"Pesan itu dihantar kepada mereka yang rapat dengan Dr Mahathir. Saya rasa ini yang menyebabkan Jho Low kini secara rasmi dikehendaki pihak berkuasa," kata sumber kepada Malaysiakini.

Pada 21 Mei, kerajaan HARAPAN menubuhkan petugas khas 1MDB yang dianggotai oleh bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuam Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Pengarah SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas pengarah polis Cawangan Khas Datuk Abdul Hamid bador bagi menyiasat kes itu.

Satu lagi sumber yang rapat dengan perdana menteri berkata dia tidak pasti tentang cubaan yang dibuat oleh Jhow Low itu tapi tidak terkejut sekiranya ia benar-benar pernah terjadi.

"Saya tidak pasti Jho Low cuba jumpa Dr Mahathir tapi saya tidak terkejut jika dia buat hal itu.

"Dia akan cuba apa saja untuk terlepas dari masalah ini," katanya.

SPRM sebelum ini mengeluarkan waran tangkap ke atas Jho Low dan Pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil beberapa hari lalu berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

Awal hari ini, Dr Mahathir mendedahkan pihak berkuasa Malaysia cuba menangkap Jho Low namun Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mengekstradisi dengan negara tempat Jho Low berada. Nama negara itu bagaimanapun tidak didedahkan. - Malaysiakini