Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini menafikan dakwaan beliau menggunakan helikopter yang merupakan aset kerajaan untuk beraya bersama keluarganya di Perlis seperti yang tular di laman sosial Facebook.
“Tidak benar sama sekali. Saya tidak akan menggunakan aset kerajaan untuk kepentingan diri sendiri dan tidak berada di Perlis pun.
Semuanya palsu dan dusta semata-mata,” katanya dalam catatan Twitternya @MSabu_Official.
Video berdurasi 27 saat itu dimuat naik hari ini oleh seorang pengguna Facebook yang mendakwa kononnya Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara telah menggunakan helikopter kerajaan bersama keluarga isteri untuk bersuka ria pada Hari Raya Aidilfitri di Jejawi, Perlis selepas dilantik sebagai seorang menteri.
Video berdurasi 27 saat itu dimuat naik hari ini oleh seorang pengguna Facebook yang mendakwa kononnya Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara telah menggunakan helikopter kerajaan bersama keluarga isteri untuk bersuka ria pada Hari Raya Aidilfitri di Jejawi, Perlis selepas dilantik sebagai seorang menteri.
Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu bersama 12 lagi anggota kabinet yang lain mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara pada 21 Mei lalu selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Sebelum ini Parti Amanah Negara (Amanah) menerima banyak pemohonan termasuk daripada pemimpin parti lain selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk menjadi anggota Amanah.
Mat Sabu berkata keanggotaan parti itu kini sudah mencecah angka 100,000 ahli dan terus meningkat.
"Ramai mahu menyertai Amanah termasuk ahli parti politik lain... kalau ahli biasa kami akan terus terima tetapi kalau pemimpin parti, kita perlu berbincang dahulu sebelum menerima keanggotaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Taman Guar Petai sini hari ini.
Katanya, beliau difahamkan terdapat beberapa pemimpin parti politik yang berhasrat menyertai Amanah tetapi setakat ini belum ada pengesahan.
Terdahulu, hampir 5,000 tetamu membanjiri kediaman Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertahanan termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Gelang Patah (Iskandar Puteri) Lim Kit Siang dan kepimpinan Pakatan Harapan; gabungan PKR, Bersatu, DAP dan Amanah, peringkat negeri. - BERNAMA