Powered by Blogger.

Sunday, June 3, 2018

Shahidan Kassim Bertanding Jawatan Naib Presiden Umno.


Selepas gesaan supaya semua jawatan dalam pimpinan tertinggi Umno dibuka untuk pertandingan, kini saingan dilihat semakin menarik apabila muncul tokoh terbaru menyatakan minat.

Dia ialah bekas menteri dan menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim.

Bercakap kepada Malaysiakini Shahidan berkata beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan menawarkan diri bagi jawatan naib presiden Umno.

Tidak cukup dengan itu Shahidan juga akan mempertahankan jawatannya dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno.

“Saya (dah) ambil borang naib presiden dan MT Umno. Saya sedang pertimbangkan bertanding naib presiden tapi pasti akan bertanding mempertahankan kedudukan dalam MT." katanya.

Ditanya lebih lanjut, Shahidan yang baru-baru ini menarik perhatian ramai ekoran krisis pelantikan menteri besar Perlis berkata, beliau ingin memulakan "gerakan kebangkitan" buat Umno.

“Saya ingin memulakan gerakan kebangkitan Umno bermula dari Perlis yang menang dua pertiga majoriti pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu,” katanya yang juga pengerusi BN Perlis.

Bersidang serentak

Untuk rekod Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis mempunyai 15 kerusi dan BN memenangi 10 daripadanya. Sembilan daripada kerusi itu ialah wakil Umno manakala baki satu lagi melalui MCA.

Bagaimanapun Perlis menjadi negeri terakhir melantik menteri besar dan Shahidan menolak pilihan berkenaan. Sehingga kini Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man belum dapat melantik barisan exco negerinya.

Tiga kerusi DUN Perlis dimenangi Pakatan Harapan dan dua lagi PAS.

Setakat ini sudah ada beberapa tokoh menyatakan minat untuk bertanding bagi jawatan naib presiden parti pembangkang terbabit. Antaranya ialah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dan Datuk Johari Abd Ghani (bekas menteri kewangan kedua).

Anggota Parlimen Pasir Salah Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman juga nampaknya tidak mahu ketinggalan walaupun belum menamakan jawatan yang disasarkannya secara jelas.

Pendaftaran atas talian untuk jawatan yang dipertandingkan dibuka mulai Isnin lalu sehingga 17 Jun ini.

MT Umno menetapkan tarikh persidangan tahunan cawangan serta sayap Umno bermula pada 19 Mei 2018 sehingga 10 Jun ini.

Mesyuarat Umno di peringkat bahagian pula ditetapkan pada 30 Jun 2018 dan persidangan dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat.

Untuk rekod bagi jawatan naib presiden, Umno menyediakan tiga tempat bagi diundi perwakilan. Buat masa ini, seorang daripada mereka sudah meninggalkan parti itu dan dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah, iaitu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dua lagi naib presiden yang masih ada sudah diangkat menjalankan tugas lebih tinggi. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang menjalankan tugas presiden, manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjalankan tugas timbalan presiden.

Presiden Umno yang dilantik ialah Datuk Seri Najib Razak dan beliau meletakkan jawatan pada 12 Mei lalu, manakala timbalan presiden sedang menjalankan tugas dalam kerajaan sebagai Menteri Dalam Negeri, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Malaysiakini