Saya Ingin Ucapkan Tahniah Kepada Beliau Dan Selamat Maju Jaya Di Kerusi Panas - Mohamed Apandi


Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengingatkan penggantinya, Tommy Thomas bahawa jawatan yang digalas itu adalah sesuatu yang sukar.

"Saya ingin ucapkan tahniah kepada beliau dan selamat maju jaya dengan ingatan bahawa tugasan sebagai peguam negara bukanlah suatu yang mudah.

"Semoga berjaya di kerusi panas. Ia bukan muda kerana ia jawatan yang sukar," katanya yang dipetik oleh NSTP dan disiarkan di portal Berita Harian Online.

Mohamed Apandi juga disoal mengenai bila pelantikan baru itu akan berkuatkuasa dan berkata, beliau menjangkakan selepas tempoh bercutinya.

"Bagaimanapun, kita hendaklah tunggu untuk pengumuman seterusnya oleh kerajaan," katanya.

Mohamed Apandi ketika dihubungi Malaysiakini untuk ulasannya, sekadar menghantar imej petikan inspirasi melalui WhatsApp, yang membacakan: "Semuanya akan baik-baik saja pada akhirnya, dan jika tidak baik, itu bukan akhir."

Sementara itu, Bernama pula melaporkan Mohamed Apandi menerima keputusan kerajaan menamatkan perkhidmatannya.

“Apa-apa keputusan pun saya akan terima dengan reda sebagai ketentuan oleh Allah SWT. Alhamdulillah,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp apabila ditanya mengenai penamatan perkhidmatannya itu.

Isu pelantikan peguam negara menggantikan Mohamed Apandi, yang ketika ini bercuti tanpa rekod selama 30 hari mulai 15 Mei lalu, tercetus apabila Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, mengusulkan nama peguam veteran, Tommy Thomas, untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Seri Paduka telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.

Dalam kenyataan bertarikh 4 Jun yang dihantar Istana Negara hari ini, Wan Ahmad Dahlan berkata, Seri Paduka bertitah bahawa pelantikan tersebut tetap memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Setelah mengambil kira pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja tentang pelantikan (i) Peguam Negara Malaysia, (ii) hak Bumiputera serta (iii) peranan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga memperkenan penamatan perkhidmatan Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebagai Peguam Negara oleh kerajaan Malaysia," katanya. - Malaysiakini