Kekalahan BN Bukan Isu 1MDB Saja, Ia Sikap Sombong Dan Angkuh Pemimpin Terhadap Masyarakat


Kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu diibaratkan sebagai hukuman apabila ia hilang kedudukan sebagai Kerajaan Persekutuan, buat kali pertama sejak penubuhannya.

Majoriti meletakkan kesalahan atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan salah guna kuasa oleh pemimpin UMNO, manakala sebahagian lagi menyalahkan sikap sombong atau keangkuhan pemimpin terhadap masyarakat umum, kata calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat.

Kata beliau, musim Aidilfitri ini adalah tempoh yang cukup sesuai bukan sahaja untuk bermaaf-maafan, tetapi bagi mengenang kembali masa lalu, bersyukur dengan apa yang dikecapi serta berdoa untuk masa hadapan.

"Semua yang berlaku ada hikmahnya dan Allah SWT tahu apa yang terbaik, BN sudah dihukum apabila ia hilang kedudukan sebagai Kerajaan Persekutuan, buat kali pertama sejak penubuhannya," katanya.

Menurut beliau lagi, seperti mana jangkaannya, keinginan yang memuncak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk melihat sesuatu yang mustahil, sudah pun berlaku.

"Pertamanya, menjadi saksi kepada kejatuhan parti yang tertua di dunia, kedua, melantik seorang individu berusia 93 tahun untuk kembali ke pejabat Perdana Menteri.

"Tetapi Allah SWT itu Maha Besar, tatkala BN mungkin sudah jatuh, UMNO masih kekal sebagai satu parti yang mempunyai kerusi Parlimen terbanyak berbanding parti-parti lain tanpa gabungan," katanya.

Terus menzahirkan pandangannya, Tengku Putra Haron berkata, kisah dongeng yang sering diceritakan bagaimana orang Melayu hampir keseluruhan sudah menolak UMNO bagi menyokong parti Melayu alternatif iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), terbukti cuma sekadar kisah rekaan semata-mata.

Jelas beliau, UMNO mempunyai 41 kerusi lebih banyak berbanding PPBM dalam Dewan Rakyat (UMNO - 54 / PPBM - 13) dan UMNO mempunyai 111 kerusi lebih, berbanding PPBM di Dewan Undangan Negeri (UMNO - 139 / PPBM - 28).

"Kami (UMNO) masih menjadi parti pilihan di kalangan orang Melayu, jauh sekali terkubur dari segi politik. Ahli-ahli UMNO bawahan harus berwaspada dan tidak perlu gusar.

"PPBM dilihat sebagai parti Melayu yang lebih baik hanya kerana Perdana Menteri kini dilantik dari parti itu tetapi apa yang mereka tidak sedar ialah Pengerusi mereka hanyalah Perdana Menteri minoriti di kalangan gabungan kerajaan pada masa kini.

"Beliau boleh diminta berundur sebagai Perdana Menteri pada bila-bila masa saja sejurus beliau menyelesaikan apa juga permasalahan awal, termasuk membuang sekutu-sekutu dari rejim terdahulu dan mewujudkan kerajaan yang berfungsi sepenuhnya untuk Malaysia baharu ini.

"Apabila semua itu selesai, tempoh masa beliau sebagai Perdana Menteri mungkin akan menjadi singkat sekiranya beliau memilih untuk terus kekal dalam Pakatan Harapan (PH) tanpa sebarang perancangan. Mujurlah Tun bukan jenis individu yang tiada perancangan," katanya

Kata Tengku Putra Haron, sementara pembetulan dalam pasaran politik ini berlaku dengan meletakkan UMNO dalam 'tempoh hukuman', ia juga harus dilihat sebagai satu 'wake up call' bagi Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, yang mana mereka juga kini dinilai oleh rakyat sebagaimana parti-parti politik dinilai.

"Sejak 2015, atas kapasiti saya sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), saya sentiasa menggesa dan menasihati istana supaya mereka menjauhkan diri dari politik dan perniagaan, bagi mengelakkan salah guna kuasa, serta kemungkinan penolakan dari rakyat sendiri.

"Kini, seperti mana yang saya jangkakan, individu yang memegang takhta turut diperhatikan rakyat.

"Di bawah kerajaan baharu ini, setiap transaksi perniagaan serta 'titah' yang dikeluarkan ke atas penjawat awam yang sudah melangkaui sempadan undang-undang, tidak akan terlepas dari pemeriksaan," katanya.

Beliau juga pasti, apabila cengkaman politik mereka mula meluas, penjawat awam akan membelakangkan tuan mereka demi menyelamatkan diri sendiri, apatah lagi mereka yang sebelum ini menjalankan tugas di bawah tekanan, akan mula bersuara dan memberi keterangan.

Pada suatu ketika dulu, orang Melayu yang paling kuat mempertahankan institusi Diraja dari serangan, namun kini ia sudah luntur sedikit, apatah lagi melihat kegagalan sesetengah Raja mempertahankan kepercayaan dan kepentingan kaum Melayu dalam isu serta lebih mementingkan kaum lain.

"Perkara ini sudah saya nyatakan dalam blog saya The Patriot, bertajuk 'Leave Palace Out Of Politics' pada 25 Ogos, 2015.

"Perenggan terakhir terang-terang menyatakan kebarangkalian perkara yang sedang berlaku pada hari ini dan ia ditulis tiga tahun yang lalu.

"Namun demikian, adalah penting untuk kaum Melayu terus mengekalkan simbol warisan kita, iaitu sistem Raja Berperlembagaan," katanya.

Bagaimanapun, kata Tengku Putra Haron, jika ada individu yang menyalahgunakan takhta mereka untuk kepentingan diri sendiri, individu itu harus diadili dengan segera dan sebaiknya, bagi menyelamatkan institusi Diraja daripada menjadi mangsa kemarahan rakyat.

Jelas beliau, kerajaan BN terdahulu ternyata terlalu berlembut dan berlebih-lebihan dalam menunjukkan penghormatan kepada istana, hingga beberapa keputusannya menyumbang kepada kekalahan dalam pilihan raya.

"Adalah penting supaya Ke bawah Duli Raja-Raja kini memainkan peranan yang lebih tepat terhadap peruntukan yang sudah pun sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengelakkan keadaan yang kurang senang di kalangan rakyat yang selama ini setia kepada istana," katanya.