Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata sedang menyesuaikan dirinya dengan "realiti baru" di Malaysia pada majlis rumah terbuka di Seri Kenangan, kediamannya di Pekan untuk kali pertama selepas kehilangan kuasa.
"Ia bukan (mengenang) suatu perkara yang terlepas (meraikan Hari Raya di Seri Perdana). Kamu hanya perlu menyesuaikan diri dengan realiti baru," katanya ketika ditemui pemberita di rumah terbuka di Pekan hari ini.
Najib berkata beliau biasanya akan mengadakan rumah terbuka di Pekan di dewan konvensyen berdekatan dua minggu selepas Hari Raya.
Sebelum ini, beliau berkata agak sibuk dengan kewajipannya di Kuala Lumpur sebagai menteri persekutuan dan perdana menteri.
"Penyokong di sini (di Pekan) telah memberi saya mandat dengan majoriti besar jadi saya mengadakan rumah terbuka hari raya di sini," katanya.
Di bawah dua khemah besar, kira-kira 500 orang berkesempatan hadir di kediaman Najib sejak jam 10.30 pagi untuk menikmati sajian makanan seperti kambing panggang, nasi kandar, cendol dan ais krim.
Mereka juga menunggu peluang untuk bertemu dan mengambil gambar dengan anggota parlimen mereka, Najib, yang diserbu oleh penyokongnya ketika beliau menyambut kehadiran tetamu yang datang ke rumah terbukanya.
Najib berkata beliau sangat gembira dengan penerimaan itu, sambil menjelaskan beliau mahu rumah terbukanya menjadi lebih bersahaja, maka sebab itulah kediamannya Seri Kenangan di pilih tahun ini.
"Saya agak gembira (dengan pemilihan). Mereka juga menyesuaikan diri dengan saya dengan penerimaan pada hari pertama.
"Dan kami mahu meneruskannya dengan cara yang sederhana berbanding sebelum ini," katanya.
Turut kelihatan di rumah terbuka itu ialah bekas naib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.
"Saya hadir untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Najib.
"Saya tidak pernah sampai ke Pekan sebelum, jadi saya fikir kehadiran ini sesuatu yang baik," katanya kepada Malaysiakini sebelum meninggalkan rumah terbuka sekitar jam 11.45 pagi. - Malaysiakini