Powered by Blogger.

Saturday, June 23, 2018

Akhirnya Shahrizat Bersara Daripada Politik Dan Telah Melepaskan Semua Jawatan Dalam UMNO.


Shahrizat tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti Umno kali ini dan berkata beliau telah melepaskan semua jawatannya dalam parti Melayu itu, termasuk di peringkat cawangan, bahagian dan peringkat kebangsaan, lapor media tempatan.

"Satu perkara dalam politik, kita mesti tahu bila hendak pergi," kata Shahrizat kepada pemberita di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur semasa pengundian sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

"Saya telah berada (dalam politik) terlalu lama. Saya merasakan bahawa saya mesti tahu bila hendak pergi.

"Inilah masanya untuk saya pergi untuk memberi laluan kepada wajah yang lebih muda, lebih segar," maklum Shahrizat dipetik Malay Mail berkata demikian.

Shahrizat ialah bekas menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat, selain pernah menjadi ketua Umno bahagian Lembah Pantai dan anggota parlimen kawasan itu.

Sebelum itu Persidangan Perwakilan Wanita Umno bahagian Kulim-Bandar Baharu di Kulim bermula dengan sedikit kekecohan apabila berlaku pertikaian tentang cawangan Banggol Rashid di bahagian itu dihalang membuat pemilihan pada persidangan itu.

Pertikaian itu bermula apabila seorang perwakilan bangun mempersoalkan faktor cawangan itu dihalang berbuat demikian namun kembali tenang 10 minit kemudian selepas Naib Ketua Wanita Umno bahagian itu Mariyaton Ibrahim memberikan penjelasan.

"Cawangan tersebut disahkan tidak menjalankan mesyuarat dalam tempoh yang ditetapkan dan sebab itu tidak boleh membuat pemilihan walaupun pelbagai alasan diberikan," katanya ketika menjelaskan tentang isu itu kepada perwakilan.

Seramai 277 perwakilan hadir ke persidangan itu yang menyaksikan jawatan Ketua Wanita Umno bahagian Kulim-Bandar Baharu menjadi rebutan antara Anggota Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Noor dan penyandangnya Nazira Abd Rahim.