Orang Pekan Tahu Saya Bukan Pencuri, Penyangak.


Dalam ucapan sulungnya di Pekan sejak kekalahan kerajaan BN yang dipimpinnya pada pilihan raya umum lalu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan beliau mencuri dana kekayaan negara.

"Saya bukan orang yang mencuri harta rakyat, sebab itu banyak tuduhan dibuat," katanya di hadapan sekurang-kurangnya 500 orang di bangunan Umno di Pekan hari ini.

Bekas presiden Umno itu menegaskan bahawa penduduk di Pekan tahu bahawa beliau bukan seorang pencuri atau penjahat.

"Orang Pekan tahu saya bukan pencuri, penyangak. Kenal saya sebagai 42 tahun berkhidmat," katanya disambut teriakan "Kami sayang Datuk Seri!"

Sebaliknya, Najib berkata beliau menjadi sasaran kerana jawatannya sebelum ini sebagai presiden Umno dan perdana menteri.

"Saya dijadikan sasaran sebab saya presiden, PM. Kalau nak tumbangkan parti, kena presiden dan buat apa sahaja asalkan 'brand' saya rosak," katanya.

Rosmah jadi sasaran

Menurut Najib inilah sebabnya mengapa isterinya Datin Seri Rosmah Mansor turut diserang oleh mereka yang menentangnya.

"Mereka serang saya, serang isteri saya. (Mereka kata) keputusan buat kena rujuk isteri saya. Itu fitnah sama sekali," jelas beliau.

Najib menegaskan bahawa semua keputusan dibuat secara kolektif di dalam Kabinet dan bukan dibuat di rumahnya.

"Kita buat keputusan di kabinet. Saya tak buat keputusan dalam rumah. Keputusan direkodkan. Saya tak cakap tunggu dulu kena rujuk isteri saya.

"Tapi kerana isteri saya ni ada Master, dia agak mengetahui tentang perkembangan (politik), kadang-kadang dia terlepas cakap tapi tak semestinya dia ada kuasa mutlak. Saya tak amalkan cara itu," katanya. - Malaysiakini