Skip to main content

Nilai Rampasan Harta Najib Mungkin Atasi Aset Marcos


Ada kemungkinan nilai rampasan aset dari kediaman yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak akan mengatasi kekayaan pasangan diktator Filipina, Ferdinand Marcos dan isterinya, Imelda.

"Saya rasa kita mungkin akan mencatat rekod mengagumkan dan melebihi (harta) Imelda dan yang lain-lain," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipetik Financial Times.

Ketua Umum PKR itu menjelaskan kadar salah guna kuasa oleh kerajaan BN sebelum ini "sangat mengejutkan" terutama apabila ramai pemimpin parti terbabit sibuk bercakap mengenai usaha membantu golongan miskin.

"Semua mereka itu agak sakit mindanya," kata bekas timbalan perdana menteri itu lagi.

Temu bual itu disiarkan ketika polis masih terus menyiasat Najib - kini menjadi anggota parlimen pembangkang mewakili Pekan, Pahang - berhubung skandal 1MDB serta syarikat yang berkaitan dengannya.

Sejumlah barang kemas, wang tunai, beg tangan mewah serta pelbagai aset lain disita anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sejak beberapa hari lalu.

Selain kediaman Najib dan isterinya Rosmah Mansor di Jalan Langgar Duta, Kuala Lumpur, polis juga menggeledah tiga unit kondominium yang ada kaitan dengan pasangan terbabit di Pavilion Residence, di kawasan segi tiga emas kota raya.

Mati dalam buangan

Polis menggunakan lima lori untuk mengangkut pelbagai barang yang dirampas itu. Antaranya ialah 72 beg wang tunai serta 284 kota beg tangan berjenama mewah.

Media juga melaporkan polis merampas lebih 100kg jongkong emas serta wang tunai bernilai lebih RM100 juta dari kondominium berkenaan.

Bagaimanapun setakat ini polis belum mengesahkannya.

Pasangan Marcos yang disebut Anwar dalam temu bual berkenaan ialah bekas pemerintah Filipina yang akhirnya tumbang digulingkan rakyat negara itu pada 1986.

Mereka berkuasa di Filipina sejak 1965.

Imelda, 88, dikenang sebagai wanita yang gemar bergaya dan menunjuk-nunjukkan kemewahannya. Suaminya ialah presiden ke-10 Filipina dan mati di dalam buangan di Honolulu, Hawaii pada 28 Sept 1989. Dia berusia 72 tahun.

Pasangan itu dikatakan menyonglap antara AS$5 bilion hingga AS$10 bilion harta negara sepanjang tempoh berkuasa.

Bukit Aman mula menggeledah rumah Najib di Jalan Langgak Duta itu sejak malam Rabu lalu - hanya seminggu selepas dia gagal memimpin BN mendapatkan mandat rakyat sekali lagi bagi mentadbir Malaysia.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian mengarahkan polis menjalankan siasatan ke atas Najib berhubung skandal 1MDB yang menggemparkan ramai orang itu.

Semalam satu peti besi yang didakwa terkunci selama 20 tahun akhirnya berjaya dibuka selepas polis mencubanya lebih 24 jam.

Difahamkan sejumlah wang ditemui di dalam peti keselamatan berkenaan.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh memberitahu mereka juga menjalankan penggeledahan bagi mendapatkan bukti di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Sebelum ini Najib didakwa menerima dana bernilai AS$731 juta (RM2.9 bilion) yang disyaki diselewengkan dari 1MDB.

Bagaimanapun Najib menarikan beliau terbabit dalam sebarang salah laku atau penyelewengan.

Semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyerahkan notis kepada Najib supaya hadir di pejabat agensi penguat kuasa berkenaan untuk diambil keterangan pada 22 Mei ini.- Malaysiakini

Popular posts from this blog

Polis tahan 7 lelaki, seorang wanita bantu siasatan kes pukul di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Polis telah menahan tujuh lelaki dan seorang wanita sejak semalam bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dipukul sekumpulan individu di sebuah rumah di flat Plentong, dekat sini, Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada mangsa pada Sabtu lalu. Katanya, permohonan reman terhadap kesemua individu yang ditahan sedang diproses bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Semalam, tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang lelaki dipukul oleh lima hingga tujuh individu di dalam sebuah rumah di lokasi kejadian. Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan menerima sembilan jahitan — tiga di bahagian bibir kanan dan enam lagi di telinga kiri. Mangsa yang berusia 21 tahun bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Taman Puteri, Kluang. Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berada di rumahnya sebelum menerima pesanan ringkas kira-kira jam...

Konflik dalaman keluarga punca suami kelar isteri, bakar 4 kenderaan di rumah mentua

TANGKAK – Polis mengesahkan bahawa punca seorang suami mengelar isterinya sehingga maut berpunca daripada konflik dalaman keluarga yang dihadapi pasangan tersebut. Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pada mulanya pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian kebakaran melibatkan empat buah kenderaan. Bagaimanapun, suspek yang dibawa ke balai polis kemudian memaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Gambir. “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis telah digerakkan ke rumah suspek dan mendapati isteri suspek telah meninggal dunia dengan kesan kelar pada leher. “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berselubung dan sebilah pisau berlumuran darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dijumpai berhampiran wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu. Beliau turut memaklumkan bahawa hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah. Sebelum ini, katanya, s...

Pempengaruh mati ditembak ketika ‘live’ TikTok

ZAPOPAN: Seorang pempengaruh media sosial di Mexico mati ditembak ketika sedang bersiaran langsung di aplikasi TikTok miliknya, Selasa lalu. Menurut pihak berkuasa Jalisco, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang. Siasatan awal mendapati suspek lelaki menaiki motosikal, tiba di salon milik Valeria Márquez, 23, sebelum melepaskan tembakan terhadap mangsa. Márquez yang memiliki hampir 200,000 pengikut di TikTok, rebah di hadapan kamera selepas dipercayai ditembak di bahagian dada dan kepala, berdasarkan rakaman video berkenaan. Beberapa saat kemudian, seorang wanita yang berada di dalam salon dilihat mengambil telefonnya dan menghentikan siaran langsung itu. Márquez disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Menurut pihak berkuasa, suspek kemudiannya melarikan diri dan masih belum diberkas. Kes kini disiasat di bawah protokol femisid, yang diaktifkan apabila seorang wanita dipercayai menjadi mangsa pembunuhan berpunca daripada jantina. Insiden itu mencetuskan kemarahan umum di Mexico...