Najib Mesti Kena Hadir Di Pejabat SPRM Esok, Boleh Dikenakan Tindakan Sekiranya Gagal Hadir.


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sekiranya gagal hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya esok untuk membantu siasatan berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, notis telah diserahkan kepada Najib untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu pada 10 pagi esok untuk dirakam keterangan.

“Sekiranya beliau tidak hadir untuk proses mengambil keterangan, beliau boleh dikenakan tindakan di bawah Akta SPRM 2009,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini tanpa mengulas lanjut bentuk tindakan yang boleh diambil.

Beliau berkata setakat ini, SPRM hanya memanggil Najib sahaja dan belum membuat keputusan memanggil mana-mana individu lain.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Jumaat lalu, sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Najib di Taman Duta di sini untuk menghantar notis meminta Ahli Parlimen Pekan itu hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sebelum ini (SPRM) menolak kenyataan peguam Datuk Harpal Singh Grewal yang pegawainya akan ke rumah Datuk Seri Najib Razak untuk mengambil keterangan bagi membantu siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

Datuk Seri Azam Baki dalam satu kenyataan hari ini berkata, notis yang diserahkan kepada bekas perdana menteri itu semalam jelas menyatakan beliau perlu hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangannya Selasa ini.

Terdahulu, Harpal dilaporkan berkata, SPRM bersetuju mengambil keterangan Najib di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 8 pagi Selasa.

“Mereka (SPRM) sudah setuju untuk datang pada waktu pagi bagi mengambil keterangan. Sebarang perubahan kami akan maklumkan Isnin nanti,” katanya yang dilaporkan Bernama.

Harpal turut berkata, pihaknya belum mendapat sebarang maklumat berhubung siasatan itu jika ia turut membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Semalam, sepasukan pegawai SPRM ke rumah Najib untuk menghantar notis meminta beliau ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan Selasa ini, bagi membantu siasatan SRC International.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 Januari 2016, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.