Arul Kanda Hadir Ke Kementerian Kewangan Bertemu Lim Guan Eng.


Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy hadir ke Kementerian Kewangan tengah hari ini, kemungkinan untuk bertemu dengan menterinya Lim Guan Eng.

Arul Kanda tiba pada kira-kira 2.50 petang di ibu pejabat kementerian itu di Putrajaya.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau mahu penjelasandaripada Arul Kanda berhubung kemampuan syarikat itu membayar faedah berjumlah RM143.75 juta sebelum tarikh akhir iaitu 30 Mei ini.

Lim berkata, 1MDB menerima hampir RM7 bilion dalam bentuk "bailout" daripada kerajaan BN sebelum ini, untuk pembayaran faedah dan penyelesaian kepada syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).

Lim Guan Eng mahu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy memastikan sama ada syarikat itu mampu membayar faedah pinjaman RM143.75 sebelum tarikh akhir 30 Mei.

Lim berkata, Arul semasa pentadbiran kerajaan lama berkata 1MDB mampu membayar hutang sendiri.

Lim bekata, beliau dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Perbendaharaan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa bahawa penyelesaian faedah pinjaman 1MDB itu adalah antara perkara paling penting diselesaikan di tempoh-tempoh awal lantikannya.

Tiada lagi ‘fail sulit merah’ kewangan negara.

Pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan mendakwa mereka dihalang daripada mengakses "fail sulit merah" tertentu oleh pentadbiran BN sebelum ini ketika menjalankan kewajipan profesional mereka dengan integriti.

Perkara ini didedahkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang berkata beliau menerima aduan itu semasa beberapa siri mesyuarat awal hari ini dengan semua pegawai kanan perbendaharaan, yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa.

Sejak memulakan tugas pada hari pertama di pejabat pagi ini, Lim berkata beliau juga berjumpa dengan Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad dan pasukan pegawainya.

"Kedua-dua mereka memberi taklimat kepada saya mengenai status semasa kewangan negara dan apa yang mengejutkan adalah bahawa mereka dilarang mengakses akaun dan laporan tertentu.

"Terdapat juga aduan bahawa 'fail sulit merah' tertentu hanya boleh diakses oleh orang tertentu, yang menghalang pegawai dan juruaudit menjalankan kewajipan profesional mereka dengan integriti," kata Lim pada sidang akhbar di kementerian kewangan hari ini.

Beliau berkata kerajaan sebelum ini telah memperdaya orang awam mengenai beberapa perkara kontroversi terutama berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), malah telah menyalahlaporkan mengenai kedudukan kewangan negara di Dewan Rakyat.

"Siasatan dan pencarian yang mendalam serta menyeluruh masih dilakukan bagi mendapatkan data dan maklumat kewangan yang berkenaan.

"Saya juga telah mengarahkan supaya semua akaun dibuka kepada perbendaharaan dan ketua audit negara bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dengan telus dan berkesan.

"Kedua-dua perbendaharaan dan ketua audit negara akan meneruskan pencarian fail berkenaan bagi memberi gambaran lebih jelas kepada kerajaan persekutuan mengenai kedudukan kewangan negara," katanya.

Mengulas lanjut, Lim berkata di sebalik semua cabaran, beliau optimis dan yakin untuk memulihkan kembali kewangan negara.

"Kewangan Malaysia dan sistem perbankan kekal meyakinkan dan berdaya tahan. Tambahan, pinjaman tidak berbayar (NPL) mewakili kurang satu peratus daripada keseluruhan portfolio pinjaman.

"Asas ekonomi negara kekal kukuh, justeru sebaik sahaja kita mampu membersihkan kewangan kerajaan, kita akan mampu mengukuhkan lagi keyakinan pelabur dan orang awam kepada Malaysia," katanya. - Malaysiakini