Powered by Blogger.

Thursday, May 24, 2018

Apa Itu Murka? You Tell Me Apa Itu Murka?


“Apa itu murka? You tell me (kamu beritahu saya) apa itu murka?” Begitula reaksi Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim ketika ditanya pemberita berkaitan kemurkaan Raja Perlis 

Pagi tadi Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka terhadap anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang memulaukan istiadat angkat sumpah menteri besar.

Mengulangi beberapa kali soalan sama, Shahidan berkata murka itu cuma “bahasa yang diperindahkan”.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Shahidan berkata apa yang berlaku padanya BN Perlis tidak adil.

“Kami bertanding pilihan raya. Kami berhak untuk tentu siapa pemimpin kami. Kita bertungkus lumus, saya menggadaikan jiwa dan raga untuk pilihan raya. Tak kiralah negeri lain, kalah, kalahlah. Tapi saya menang, dua pertiga (dewan).

“Saya percaya orang akan hormat kepada keputusan dua pertiga majoriti. Kalau raja murka itu soalan you. Saya tak faham apa makna murka,” katanya.

Bekas menteri undang-undang itu menegaskan beliau mengikuti perlembagaan.

“Dan Raja hendaklah melantik... hak saya sebagai badan perhubungan Umno saya nak beritahu, Umno menghormati institusi raja-raja dulu sampai sekarang.

“Tapi saya kena dua kali, (kali pertama pada) 2008 dan ini saya terima. (Pada) 2008 bila nak jumpa raja, wakil rakyat hilang,” luahnya.

Beliau menegaskan menteri besar mesti dilantik berdasarkan nama dicadangkan BN. “Yang lain tak boleh,” katanya.

Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dukacita dengan tindakan 9 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada Majlis Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perlis pagi ini.

Titah baginda, beliau mempunyai pilihan diantara dua calon yang telah disenarai pendek.

Bagaimanapun, pilihan dibuat berdasarkan pertimbangan tidak mahu ada Menteri Besar yang dikawal Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Dan kebimbangan baginda itu terbukti apabila ADUN Barisan Nasional seakan memboikot majlis itu meskipun sudah diberikan jemputan dua hari lalu.

Terdahulu, baginda menyampaikan Kurnia Pelantikan kepada ADUN Bintong, Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis. Ini merupakan penggal kedua Datuk Seri Azlan sebagai Menteri Besar. - Malaysiakini