Rumah Tangga Bermasalah, Anak Tiri Jadi Mangsa Penderaan


KUALA NERUS - Seringkali kita dengar berita anak tiri menjadi mangsa penderaan kepada ibu atau bapa tiri dan hal demikian terjadi kepada empat adik beradik di Gong Badak setelah rumah tangga ibu dan ayah tirinya dilanda masalah.

Bapa tiri mereka yang berumur 37 tahun sering mendera termasuk memukul mereka menggunakan rotan.

Perkara itu terbongkar apabila ibu kandung kepada empat beradik malang itu menceritakan perkara sebenar kepada abangnya pada khamis lalu.

Sebaik sahaja mengetahui keadaan itu, lelaki yang merupakan bapa saudara kepada empat mangsa itu pergi ke reumah yang didiami adiknya untuk melihat keadaan anak saudaranya yang berusia lima hingga sembilan tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, ketika saksi tiba di rumah adiknya itu hanya seorang anak saudaranya yang berusia lima tahun berada di rumah, manakala tiga lagi berada di sekolah.

"Bapa saudara mangsa itu kemudian membawa anak saudaranya yang berusia lima tahun ke sekolah bagi memeriksa keadaan tiga lagi anak saudaranya tersebut.

"Setelah pemeriksaan dibuat didapati ada kesan lebam dan parut pada badan empat anak saudaranya yang masing-masing dua lelaki dan dua perempuan dipercayai akibat dipukul menggunakan rotan.

"Sejurus itu bapa saudara berkenaan membawa empat beradik itu ke hospital bagi mendapatkan rawatan berikutab terdapat kesan lebam dan parut pada bahagian punggung dan kaki," katanya kepada Sinar Harian.

Empat beradik itu dipercayai menjadi mangsa lepas geram oleh bapa tiri mereka setiap kali bergaduh dengan isterinya.

"Wanita terbabit memaklumkan anak-anaknya dipukul menggunakan rotan dua minggu lalu namun tidak membuat laporan kerana takut selain susah untuk keluar dari rumah.

"Suspek juga dikatakan sering memukul keempat-empat mangsa setiap kali selepas bergaduh dengan isterinya.

"Selain dipukul menggunakan rotan, suspek turut memukul mangsa menggunakan selipar, tangan dan kaki sebelum laporan dibuat di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan usaha mengesan suspek giat dilakukan. Sumber:Sinar Harian Online , Editor:Anna