Maut Di Tembok Batu Rumah.


MANJUNG: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta Kia Spectra yang dinaikinya terbabas lalu melanggar tembok batu rumah di Taman Seri Sentosa, Ayer Tawar, Manjung malam semalam.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada jam 10 malam, di mana mangsa yang dikenali sebagai Wong Sam,75, telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, kemalangan itu telah membabitkan kereta yang dipandu oleh warga emas dan dipercayai ianya terbabas sendiri.

Tambahnya lagi, siasatan awal mendapati bahawa mangsa dikatakan memandu dari arah pekan Ayer Tawar dan mahu pulang ke rumahnya.

"Apabila tiba di lokasi kejadian dipercayai kereta yang dipandu mangsa terbabas dan melanggar tembok batu rumah.”

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera parah dan maut di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar digerakkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan.

"Setibanya jentera di lokasi didapati seorang lelaki tersepit dan anggota bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas lalu menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya. Sumber: Harian Metro, Editor: Amira