Penyamun Dibelasah, Cubaan Samun Gagal


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang cuba menyamun sebuah kedai serbaneka di ibu negara gagal selepas dia ditangkap dan dipukul orang awam.

Menurut laporan Astro AWANI, dalam kejadian pada jam 9 malam tadi, suspek bersama rakannya memasuki kedai berkenaan ketika tiada pelanggan lain.

Suspek yang bersenjatakan tukul dan parang itu mengambil beberapa barangan seperti rokok dan kad tambah nilai prabayar.

Pekerja kedai berkenaan bagaimanapun enggan menyerahkan wang tunai menyebabkan berlaku pergelutan sebelum kedua-dua suspek melarikan diri.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian kemudiannya berjaya menangkap salah seorang suspek.

Polis kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis dan bangunan berhampiran bagi mengesan rakan suspek yang melarikan diri. - Astro AWANI